CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Sejarah Polis di Kedah
- Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Kedah
Mula 1-1 Akhir
Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Negeri Kedah Darul Aman

Kerja-kerja menangkap penjenayah dan menyediakan pegawai menjaga penjara dan alat-alat menghukum orang salah menjadi tanggungjawab Temenggung. Orang-orang yang membantu Temenggung ialah orang-orang yang melakukan kerja polis. Mereka juga dipertanggungjawab untuk menjalankan hukuman bunuh setelah dijatuhkan hukumannya oleh hakim. Orang-orang Temenggung juga memungut hasil mahsul untuk Sultan.

Oleh kerana Sultan yang melantik Temenggung menjalankan tugasnya, maka seluruh rakyat berdiri teguh menyokong Temenggung menjalankan tugasnya. Jadi, Temenggung mendapat kerjasama daripada ketua mukim, penghulu, tok kewing, imam dan orang sepuluh masjid.

Jika melibatkan orang-orang Cina umpamanya, Kapitan China yang dilantik oleh Sultan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada orang-orang Temenggung.

Negeri Kedah yang telah dijajah oleh Siam sejak lama dahulu menubuhkan pasukan polis, seperti yang terdapat di negara Thailand. Anggota-anggota "polis"nya tiada beruniform dan tiada latihan pada bidang-bidang berkawad, menggunakan senjata atau penegakan disiplin. Mereka ini dipangil mata-mata. Mata-mata membuat rondaan di sebelah malam seperti memeriksa orang berjalan tanpa jamung, orang yang enggan memperkenalkan diri dan berkelakuan ganjil di tengah malam. Ada juga orang yang bukan mata-mata diarahkan oleh Temenggung untuk membuat rondaan dalam pekan dan pelabuhan atau di dalam kampung supaya ringan sedikit tugas mata-mata. Orang yang meronda ini dipanggil "sembang". Sekarang "sembang" bermaksud berbual-bual pula iaitu kerja yang dilakukan oleh mata-mata dan bukan mata-mata ketika membuat rondaan.

Dalam bulan November 1870, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) telah melantik seorang Inggeris dari Singapura bernama Captain Pallet mengajar sekumpulan orang-orang Melayu menjadi "Sepahi". Boleh dikatakan Captain Pallet ialah ketua polis yang pertama di negeri Kedah. Di bawahnya dilantik pula beberapa orang Inspektor dari orang-orang Melayu juga.

Perkataan "Sepahi" ini berasal dari Parsi yang bermaksud tentera atau askar, bukan polis. British telah menubuhkan pasukan tentera dari orang-orang India yang berasal dari Punjab Benggala serta melatihkan mereka menggunakan senjata, berkawad dan berdisiplin serta memangil mereka "Sepoy". British membawa askar-askar "Sepoi" atau "Sepahi" ini berkhidmat di Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) dan juga Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) sejak British menjejak kaki di negeri-negeri tersebut.

Lima belas orang Sepahi pernah diambil mengawal Kota Kuala Kedah dalam bulan Mei 1983. Mereka mempertahankan kota tersebut dari serangan Siam bersama-sama dua ratus orang satria Melayu di bawah arahan Tunku Muhammad Saad. Sepahi-Sepahi ini di arah menggunakan meriam membedil perahu-perahu Siam yang memasuki kuala. Sepahi-Sepahi ini tidak berganjak dari meriam-meriam mereka selagi ubat bedil dibawakan oleh orang-orang Melayu kepada mereka.

Malangnya apabila Sepahi-Sepahi ini melihat beberapa buah kapal perang British di pintu Kuala Kedah membantu orang-orang Siam, mereka bertindak meninggalkan kota dan terjun ke dalam sungai. Mereka tahu siapapun tidak akan menang menentang British. Malangnya lagi apabila Sepahi-Sepahi ini tidak pandai berenang, lima belas mayat mereka didapati tersadai di belat batang-batang nibung yang dipacak oleh kapal "Hyacinth" bertujuan menyekat-menyekat perahu-perahu Melayu dari laut, maksudnya dari Langkawi, Setol atau Merbuk, masuk membantu Tunku Muhammad Saad di dalam kota.

Tempat mayat-mayat Sepahi ini ditemui, dikenali hari ini sebagai "Alor Benggali".

Harapan Sultan Ahmad Tajuddin ialah hendak menubuhkan pasukan polis yang berdisiplin dan terlatih seperti Sepahi-Sepahi yang mengawal ketenteraman dan keamanan di negeri-negeri di bawah perintahan British. Captain Pallet membawa beberapa orang Sepahi ke Kedah untuk mengajar kawad dan menembak kepada beberapa orang Melayu dari kampung menganggotai pasukan polis Kedah. Dalam bulan Julai 1875, Captain Pallet diganti oleh seorang British lain dari Singapura yang bernama Captain Thorndale.

Captain Thorndale digantikan pula oleh Belanda Islam bernama Abdul Rahman Belanda dalam tahun 1880 iaitu beberapa bulan selepas Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah mangkat ke Rahmatullah. Abdul Rahman Belanda merupakan Penguasa Polis atau "Superintendent of Police" yang pertama beragama Islam. Dalam bulan Jun 1885, Abdul Rahman digantikan oleh seorang yang dipangil Captain Duyung. Captain Duyung berbangsa British tetapi ejaan namanya sebagai seorang dari Nusantara atau Belanda - de jong.

Pasukan Polis Kedah pada masa itu belum juga teratur dan sempurna betul kerana terdapat mata-mata yang bersubahat dengan penjenayah, bermain judi, menghisap mandat dan menerima rasuah.

Dalam tahun 1889, Sultan Abdul Halim Shah (1882-1943) melantik Tunku Bahadur Syah Ibni Tunku Dziauddin iaitu putera kepada Tunku Kudin Klang menjadi Inspektor Jeneral pasukan Polis Negeri. Seorang pegawai polis British bernama Ben Mitchell di arah membentuk sebuah kontijen polis militari mententeramkan pergaduhan-pergaduhan kongsi gelap di negeri Perak dan Pulau Pinang.

Ben Mitchell terus dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Selatan dan Encik Ismail Bin Muhammad Hassan menjadi Pesuruhjaya Polis Utara berpejabat di Alor Setar.

Pasukan Polis Kedah meningkat prestasi apabila dua orang pegawai polis British dilantik menjadi Ketua Inspektor ("Chief Inspector") dalam tahun 1906. W.E. Speers menjadi ketua Inspektor di Kuala Muda dan P. F. Joyce menjadi Ketua Inspektor di Alor Setar.

Dalam bulan Jun 1907, Tunku Ibrahim, putera sulung Sultan Abdul Hamid dilantik menjadi Inspektor Jeneral menggantikan Tunku Bahadur Syah. Dalam tahun 1970 inilah Kerajaan Negeri membina bangunan pajabat polis berhampiran Penjara Lama berhadapan dengan Pejabat Pos Besar di Jalan Raja. Sebelum 1907, Pejabat Polis ialah di sebuah pintu bangunan di kedai di Jalan Pekan Melayu berhampiran Masjid Raja (Masjid Zahir sekarang).

Pemegang-pemegang jawatan inspektor ditambah lebih ramai dan tiap seorangnya diberi latihan di Pulau Pinang. Malahan pada masa itu ramai anak-anak Melayu Pulau Pinang menjadi inspektor polis di Kedah. Selain daripada itu, diambil juga inspektor-inspektor dari Negeri-Negeri Bersekutu berkhidmat di sini.

Tunku Ibrahim (Tunku Sulung) terpaksa meningalkan jawatan Inspektor Jeneral kerana ditabal menjadi Rejen atau Pemangku Sultan dalam bulan Julai 1913. Jawatan Inspektor Jeneral dipegang oleh pegawai awam bernama Tunku Ismail.

Dalam tahun 1909, Kedah menjadi sebuah negeri yang dinaungi oleh British dan tidak lagi dinaungi oleh Siam. Penasihat British yang pertama ialah W.G. Maxwell. Beliau membubarkan kontinjen polis Sikh dan meletakkan anggota-anggotanya di dalam polis biasa.

Ben E. Mitchell bersara dalam tahun 1910. Masa ini mata-mata dibayar sepuluh ringgit sebulan dan kopral mendapat lima belas ringgit. Pakaian seragam mereka ialah songkok bulat, baju kot tangan panjang dengan lima butang dari dada hingga ke leher. Seluarnya panjang hingga ke bawah lutut. Betis berpatis dan memakai kasut but.

W.E. Speers berkhidmat sebagai Ketua Inspektor di Kota Kuala Muda sejak 1906, akhirnya memberhentikan perkhidmatannya dalam tahun 1929 sebagai Pesuruhjaya Polis. Beliau berkhidmat selama 23 tahun dengan Kerajaan Kedah. Semasa beliau bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis, W.E. Speers menubuhkan sebuah kontinjen khas polis Sikh yang dipanggil Polis Sepahi. Tugas mereka ialah mengawal istana Yamtuan dan Istana Rejen serta rumah kediaman Penasihat British.

Dalam tahun 1929, kekuatan Pasukan Polis Kedah yang dianggotai oleh orang Melayu dan Sikh, termasuk Ketua Inspektor dan Inspektor-Inspektor semuanya berjumlah 764 orang. Masa itu tidak ada polis trafik. Segelintir daripada 164 tadi ialah mata-mata gelap.

A.W. Hamilton datang menggantikan W.E. Speers dalam tahun 1929 dan berusaha meningkatkan disiplin dan kemahiran polis dalam bidang menembak, kawad dan meronda kawasan orang-orang ramai. Begitu juga diperkenalkan pengetahuan psikologi ketika menangkap penjahat dan orang gila. Di kawasan Kulim diletakkan seorang Pesuruhjaya Polis bernama P. K. Hazlitt.

Selepas ini Kedah dibahagikan kepada tiga kawasan polis di bawah tiga orang Pegawai Penguasa Polis, E.P. Colgan menjadi Pegawai Polis Penguasa di Alor Setar, A.F. Sheady menjadi Pegawai Penguasa di Kulim dan D.Kenny di Sungai Petani. D.Kenny juga menjadi Pegawai Penjara Cawangan Mata-Mata Gelap seluruh negeri berpejabat di Sungai Petani.

A.W. Hamilton tidak lama berkhidmat di Kedah. Minatnya kepada bahasa kebudayaan Melayu amat mendalam sehingga beliau pernah menyarungkan pakaian Melayu dan berserban masuk ke dalam Masjid Zahir bersembahyang Jumaat bersama-sama orang Melayu. Atas laporan dari Syaikul Islam, Tunku Mahmud menjadi Presiden Dewan Mesyuarat Negeri telah bertindak.

A.W. Hamilton ditukarkan ke negeri lain. Buku Pantun Kanak-Kanak iaitu "Nursery Rumes" dwi-bahasa Inggeris-Melayu karya A.W. Hamilton masih menarik dibaca. Beliau digantikan oleh Ketua Pegawai Penguasa Polis (C.P.O) yang baru : Penny - Father Evans yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Penghargaan
 
 
   
 
 
     
 
     
10 December 2024