|
Piama menabur
Selesai pekerjaan menyediakan tapak semaian, persediaan untuk menabur padi benih pula dilakukan.
Menabur merupakan satu rukun persawahan. Di sinilah tempat pergantungan yang paling besar sama ada pekerjaan persawahan itu berhasil atau tidak. Kalau tidak berhati-hati dalam pekerjaan menabur ini tidaklah mungkin akan mendapat hasil padi yang baik lagi memuaskan. Seseorang yang ingin melihat padinya berbuah bernas, banyak, terhindar daripada bahaya-bahaya kekeringan atau sebaliknya, jauh daripada serangan-serangan binatang seperti burung, tikus, ketam, babi dan lain-lainnya, haruslah berhati-hati dalam pekerjaan yang paling besar ini. Semasa menabur apa padinya, apa petua-petuanya dan lain-lain mustahaklah diawasi.
Mengikut petua daripada orang-orang yang ahli dalam persawahan, masa atau piama menabur itu ialah pada bulan lapan, kerana bulan lapan itulah masanya "bintang ketika" jatuh ke benih. Seberapa daya berikhtiarlah menyiapkan tanah dan persediaan-persediaan lain supaya dapat menabur pada bulan itu. Selanjutnya siapa yang menabur pada bulan itu tidaklah menerima bahaya kekeringan atau sebaliknya, begitu juga bahaya-bahaya lain. Takdirnya bendang ketiadaan air pada bulan itu hendaklah juga dikerjakan menabur itu walaupun terpaksa mengandar air dari tempat-tempat lain. |
|