CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 23-25 Akhir
Berpantun

Malam mengirik merupakan malam yang paling gembira pada kanak-kanak. Mereka tidak malas-malas datang bersama-sama pada malam itu menolong ibu bapa mereka bekerja kerana di situlah mereka berpeluang bersuka ria, bermain-main dan bercampur gaul dengan kawan-kawan mereka yang sesetengah mereka tidak berpeluang bermain bersama kalau tidak pada malam itu kerana tinggal berjauhan, seolah-olah di situlah tempatnya mereka diberi kesempatan bersosial.

Untuk menggembirakan hati mereka supaya tidak berasa penat bekerja dan supaya tidak berasa mengantuk dan malas, sambil mereka memungut membuangkan ruman atau bertangkai-tangkai padi itu mereka berbalas-balas pantun. Biasanya mereka terdiri daripada berpihak-pihak. Kadang-kadang pernah terjadi pergaduhan kecil antara sesama pihak itu. Ada kanak-kanak yang sampai menangis dan sesetengahnya hingga merajuk tidak mahu memakan pulut sesudah selesai kerana malu atas kekalahannya.

Perlu diketahui bahawa kanak-kanak yang berpantun itu bukanlah kanak-kanak yang begitu besar. Umur mereka hanyalah antara sepuluh dengan dua belas atau tiga belas tahun sahaja. Walaupun semuda itu umur mereka, dan mereka tidak pula mempelajari pantun seperti kanak-kanak sekarang mempelajarinya di sekolah-sekolah, tetapi oleh sebab pantun cukup terkenal menjadi permainan dan hiburan segenap lapisan masyarakat masa itu dapatlah mereka berpantun berbalas-balas menduga kepintaran melahirkan perasaan masing-masing.

Mengikut cerita, lagu yang dipantunkan ialah lagu yang dipanggil "Anak Endong". Apabila seseorang berpantun, yang lainnya menjawab beramai-ramai:

Anak Enong oi,
Anak Enong oi,

Anak itik terlarik-larik,
Anak angsa terenang-renang,
Bukan bangsa nak dibuat baik,
Sahaja bangsa tak mengenang.

Balasnya:

Zaman dahulu mengkuang berpucuk,
Zaman sekarang mengkuang berbunga,
Zaman dahulu aku dipujuk,
Zaman sekarang aku tak berguna.

Dan:

Mangkuk jorong pinggan pun jorong,
Si jorong berisi buah jati,
Dua tiga kata terdorong,
Janganlah dibawa masuk ke hati.

Balasnya:

Gunung Daik timang-timangan,
Tempat kera berulang alik,
Budi yang baik kenang-kenangan,
Budi yang jahat buang sekali.

Demikianlah mereka berbalas-balas pantun lepas satu satu pula, penat, seorang yang lain menggantikannya. Sekiranya seorang itu sudah putus modal yang lainnya tolong membantu. Orang-orang tua tumpang juga bersuka ria, bergelak ketawa melihat telatah anak-anak mereka.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
26 April 2024