CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 22-25 Akhir
Menggiau dan mengirik

Padi masak kuning keemasan kelihatan sayup saujana mata memandang. Pada saat yang baik dan ketika yang sempurna pesawah turun berdahulu-dahuluan ke sawah yang telah dijadualkan dengan persetujuan ramai untuk menggiau padi di padang itu. Setelah selesai menggiau di sawah rombongan yang seramai kira-kira tiga empat puluh orang itu (mengikut sedikit banyaknya orang-orang yang adalah dalam sesuatu pakatan yang terbentuk mengikut kampung atau daerah) pergi bersama-sama mengerjakan sawah giliran yang kedua pula. Begitulah habis semua sekali dikerjakan.

Apabila padi telah selesai digiau kedap-kedap yang berlonggok di padang diangkut dengan pengandar ke dalam bangsal pisang sesikat yang telah sedia didirikan terlebih dulu di pinggir atau di tengah-tengah sawah itu. Satu tuan mempunyai satu bangsal sendiri. Besar kecilnya bangsal itu mengikut banyak sedikitnya padinya. Ada yang enam tiang, ada yang lapan tiang, dan ada yang sepuluh atau dua belas tiangnya. Kedap-kedap itu diatur dan disusun sehingga tinggi hampir-hampir mengenai bumbungnya.

Beberapa lama kemudian setelah sawah yang termasuk dalam pakatan itu digiau kerja mengirik dimulakan pula. Lazimnya kerja tersebut dilakukan di sebelah malam iaitu dari petang hingga ke subuh esok harinya.

Kira-kira pukul empat petang mereka turun beramai-ramai ke sawah. Tiap-tiap seorang membawa bersama mereka seekor kerbau dan enam tujuh helai tikar besar (mengikut pakatan masing-masing). Tikar itu berjumlah antara kira-kira tiga ratus helai semuanya dan dihamparkan di tengah padang. Kemudian segala kedap yang di dalam bangsal itu dikeluarkan disusun semula di atas tikar itu. Setelah selesai, kenduri nasi dihidangkan.

Lauknya dalam jamuan nasi padang petang itu mengikut keadaan tuan yang empunya sawah. Kalau dia seorang yang berada kerbau besarlah yang menjadi lauknya. Kalau dia orang biasa saja ikanlah yang seringkali dihidangkan. Lazimnya telaga-telaga ikan yang umumnya ada pada tiap-tiap sawah tidak ditimba melainkan setelah hari mengirik hampir tiba. Ikan haruan, keli, puyu, sepat dan ikan-ikan lain beserta telurnya yang lemak yang dari dalam telaga itulah yang menjadi hidangan. Kerabu rias pisang dan sayur atau gulai labu seringkali juga menjadi hidangan yang terkemuka.

Selesai makan dan setelah berhenti sekejap, mereka mulalah mengirik. Sebahagian kanak-kanak menarik kerbau yang berpuluh-puluh ekor itu berjalan berkeliling pergi balik atas longgok padi itu berulang-ulang. Yang lainnya bekerja menghalau kerbau-kerbau itu supaya jangan keluar dari kawasan padi itu atau supaya jangan berhenti berjalan.

Orang-orang tua duduk berkeliling sambil membuat telaga dan kemudian mengambuskannya kembali. Demikianlah kerja mereka menjaga supaya semua padi dipijak oleh kerbau-kerbau itu. Dengan itu barulah padi yang berkunca-kunca itu tanggal daripada tangkainya. Apabila ruman (jerami padi) telah banyak yang tanggal terasing daripada padi, sebahagian kanak-kanak lain pula ditugaskan memilih dan membuangkan ruman itu keluar. Demikianlah kerja mereka hingga larut malam, biasanya hingga subuh barulah siap.

Setelah kerja yang berat itu siap sekali lagi diadakan jamuan. Biasanya jamuan pada kali ini tidaklah lagi nasi , melainkan jamuan pulut lemak dengan susu. Bergantang-gantang susu diisikan ke dalam tiga empat biji tempayan besar-besar dan berbakul-bakul pulut ditarik dengan satu alat penarik yang menggunakan kerbau terkenal sebagai anur (alat menarik padi yang dibuat seakan-akan pelantar). Pisang dan lain-lain seumpamanya juga merupakan jamuan yang sangat cocok dengan pulut dan susu. Pulut lemak campur susu dan pisang amat digemari mereka bahkan hingga ke hari ini juga.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
19 April 2024