CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 21-25 Akhir
Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang

Di antara perbezaan-perbezaan yang paling besar antara kerja-kerja persawahan di Kedah pada masa dahulu dan sekarang ialah tentang mengambil padi dan kerja-kerja lain yang berturutan dengannya. Cara-cara dan keadaan pekerjaan-pekerjaan itu dilakukan oleh orang-orang tua kita itu tidaklah lagi kedapatan diamalkan oleh orang-orang zaman ini. Orang-orang muda kita sekarang tidak lagi kenal adat itu, cuma mendengar ceritanya sahaja. Bahkan sesetengah orang-orang tua yang ada hari ini tidak dapat menceritakan hal itu kepada kita lagi.

Di antara perkara-perkara yang menyebabkan adanya perubahan-perubahan itu pula ialah sifat "bergotong-royong". Orang Melayu terutama masyarakat zaman dahulu (masyarakat Melayu zaman silam ketika pengaruh-pengaruh dari barat belum datang menekan dengan pesatnya), mempunyai sikap kerja secara bergotong-royong. Sikap ini jelas kelihatan dalam sebarang pekerjaan mereka yang ada perhubungannya dengan orang ramai.

Ke bukit sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Ke laut sama direnangi,
Yang berat sama dipikul,
Yang ringan sama dijinjing,
Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama dicecah,

Dapat seduit dibelah tujuh

Demikianlah di antara beberapa peribahasa atau bidaan yang memberikan satu gambaran yang nyata betapa sebatinya sikap bergotong-royong itu pada seluruh jiwa masyarakat kita.

Di Kedah perkataan bergotong-royong itu terkenal dengan kata "berderau". Dalam kerja persawahan, kerja-kerja yang berat seperti menggala, menanam dan mengambil padi merupakan kerja-kerja yang seringkali dilakukan dalam bentuk berderau, tetapi oleh sebab masyarakat kita juga merupakan masyarakat yang hidup, kebudayaan kita juga hidup menempuh perubahan-perubahan yang tidak dapat dielakkan. Lepas satu pengaruh, pengaruh lain pula datang, yang dulu dianggap lebih rendah nilainya daripada yang baru, dan apabila pengaruh barat yang membawa cara hidup yang lebih bersifat bersendirian (individualistik) itu tiba, sikap bergotong-royong yang murni itu kian hari kian berkurangan.

Di Kedah hari ini, dalam kerja persawahan seperti dalam hal-hal lainnya, berderau itu tidaklah lagi begitu terkenal dalam kehidupan hari-hari. Hanya dalam kerja menanam dan mengerat sahaja masih terdapat orang berderau. Itu juga tidaklah seramai yang pernah diadakan oleh orang-orang zaman dahulu. Kini, terutama dalam kerja mengerat mereka lebih mudah mengupah atau "kupang" (upah hari = bayar hari). Selain itu ada pula orang yang datang menolong secara sukarela sahaja. Biasanya pada orang-orang yang datang menolong itu diberikan sebagai saguhati sedikit padi, dan seterusnya kadang-kadang zakat pun diberinya. Dengan demikian banyaklah juga orang yang suka mengambil peluang tersebut.

Perbezaan-perbezaan lain yang ternampak jelas antara kerja-kerja persawahan dahulu dan sekarang ialah kerja-kerja menggiau (memotong padi dengan menggunakan pisau yang lebih pendek daripada yang digunakan sekarang). Sekarang orang lebih suka mengerat daripada menggiau itu. Kalau dahulu orang suka mengirik (menanggalkan padi dari tangkainya dengan menggunakan kerbau), sekarang orang lebih suka memukul saja.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
26 April 2024