CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 9-25 Akhir
Memilih padi benih

Dalam memilih padi benih pada orang yang mengerti, tidaklah memadai dengan memilih padi yang bernas dan yang lazimnya mengeluarkan hasil yang baik sahaja. Mereka berpendapat dan mereka percaya hal itu sememangnyalah, tetapi mengenai jenis padinya yang patut dibawa pada sesuatu tahun itu tidaklah dapat ditentukan dengan kemahuan diri sendiri sahaja melainkan dengan petua-petua yang lebih sulit lagi. Ada petua yang berasaskan bintang ketika, ada yang mengikut raksi padi itu dengan diri sendiri, dan ada yang lain-lain lagi. Padi yang elok itu dibawa sentiasa berubah-ubah. Tahun ini berlainan dengan tahun lepas dan seterusnya, masing-masing mengikut bintang ketika dan lain-lainnya yang menjadi pegangan seseorang itu.

Sekiranya pegangan seseorang itu pada bintang ketika, menjelangnya bintang tersebut pada awal bulan lapan hendaklah diperhatikan keadaan bintang itu. Menurut petua sekiranya di dapati bintang ketika itu sigih (terang atau bercahaya) di kepala dan kelabu atau kurang terang cahaya ekornya, seelok-eloknya pada tahun itu dibawa padi putih. Oleh kerana sigih di kepala itu menunjukkan hujan akan berkurangan atau tidak berlanjutan, sepatutnya pula dibawa padi ringan supaya terjauh daripada kekeringan. Sebaliknya jika bintang tersebut suram kepalanya dan sigih ekornya, sebaik-baiknya pada tahun itu dibawa padi merah yang berat. Kalau dibawa juga padi ringan pada tahun itu kerana mungkin hendak mencuba padi baru, kemungkinan bahaya tenggelam oleh bah atau kelebihan air terpaksa dihadapi. Sigih di ekor itu menandakan hujan berpanjangan dan lebat di hujung. Keadaan seumpama inilah seringkali terjadi kekurangan air semasa hendak menabur dalam bulan lapan.

Satu cara lagi ialah sekiranya kita berasa hendak membawa padi merah pada tahun ini, pertama sekali hendaklah diambil padi itu kira-kira sejemput. Buatlah longgok empat-empat, atau dibahagikan jumlah semua biji padi itu dengan empat. Kalau berlebihan sebiji alamat terkena pada tanah. Ini bererti padi tersebut tidak boleh dibawa pada tahun itu. Kiranya dibawa juga, nanti diserang ulat dan lain-lain bahaya pada tahun itu. Kalau berlebihan dua, menunjukkan terjatuh pada air. Itulah alamat yang paling baik sekali yakni boleh dibawa padi itu pada tahun itu. Kalau berlebihan tiga bulan pula alamat terkena pada api. Jika demikianlah halnya alamat akan terkena penyakit merah. Seterusnya jika tidak berbaki apa-apa (sekiranya padi yang dijemput itu genap), beralamatlah jatuh kepada angin dan padi itu elok dibawa.

Demikianlah kiranya padi putih yang menjadi pilihan dicubalah juga seperti itu. Kalau padi yang diinginkan itu memberi alamat yang tidak memuaskan dicubalah juga meraksikannya dengan jalan yang lain pula. Begitulah seterusnya dicari sehingga jumpa dengan cara yang sesuai.

Rupa-rupanya ada pula tolak ansur dalam hal ini. Kalau terlalu ingin membawa sesuatu jenis padi itu pada hal raksinya tidak mengizinkan, ada pula cara yang mungkin dapat meluluskan hasrat itu. Jalannya ialah hendaklah dicuba membuat raksi sehingga tiga kali sambil berdoa meminta bersungguh-sungguh kepada tuhan supaya dimakbulkan permintaan itu. Takdirnya sehingga kali yang ketiga pun tidak juga memberi alamat baik, seeloknya-eloknya janganlah dibawa padi itu. Kiranya dibawa juga buruklah padahnya.

Setelah siap pekerjaan memilih padi yang bernas lagi selamat dibawa pada tahun itu, padi itu diisikan ke dalam bekas, biasanya karung lalu direndam ke dalam telaga atau parit.

Mengikut pengecaman orang-orang tua kononnya pada masa merendam itu lagi sudah dapat di ketahui setakat mana hasil padi itu akan diperolehi . Jika pada masa melepaskan karung padi itu kelihatan air yang naik berbuih-buih itu kasar-kasar atau sebiji-biji buihnya, alamat kuranglah padinya nanti. Sebaliknya kalau halus-halus dan banyak pula buihnya, alamat padi tersebut akan menghasilkan perolehan yang baik.

Tiga malam lamanya karung itu direndam di dalam air, kemudian dibiarkan pula selama dua hari di atas darat.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
26 April 2024