CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 13-25 Akhir
Mencabut semai dan menanam

Empat puluh empat hari sekurang-kurangnya umur semai, setelah tanah siap ditenggala, dibongkar, dialih dan diperata, setelah air memenuhi sawah, kira-kira dalam bulan sembilan atau bulan sepuluh mengikut pengiraan bulan piama, semai yang telah cukup umur itu dicabut dan ditanam ke dalam petak yang disediakan. Dalam pekerjaan ini juga ada pengiraan tertentu yang tidak dilebih kurangkan.

Hari mencabut semai dan hari mula menanam itu hendaklah mengikut "bintang celaka". Kononnya bintang celaka itu sepanjang masa berjalan naik turun dari langit ke bumi dan sebaliknya. Pada satu haribulan Hijrah bintang itu berada di bumi. Pada dua haribulan ia berada di awang-awangan dalam perjalanannya ke langit. Pada tiga haribulan ia berada di langit, empat haribulan berada di diawang-awangan pula hendak turun ke bumi semula dan pada lima haribulan pula bintang tersebut berada di bumi semula. Demikianlah seterusnya. Oleh kerana itu pada hari mencabut semai hendaklah dipilih pada dua haribulan, enam haribulan atau lain-lain iaitu pada hari yang bintang celaka itu berada di awang-awangan dan perjalanannya naik ke langit.

Apabila semai telah siap dicabut pekerjaan mula menanam dijalankan. Perkara besar yang rasanya elok disebutkan dalam hal "mula menanam" ini ialah tempat yang hendak dimulakan menanam itu bukanlah di sebarang tempat.

Dalam masa mengerjakan tanah, iaitu semasa menggala, membongkar, mengalih atau dalam masa merata hendaklah dicari tempat di mana lebih sejuk buminya. Setelah tempat tersebut dijumpai tempat itu ditanda supaya jangan hilang atau tercari-cari pula kemudiannya. Pada tempat itulah dimulakan menanam. Seringkali pekerjaan memulakan menanam itu ditugaskan kepada orang lain yang dianggap lebih mengerti. Orang itulah lazimnya yang nanti akan mencari tempat yang sejuk itu.

Kayu yang dibuat penanda bumi sejuk itu pun ada pula dengan kiraan-kiraan tertentu, tidak sekali-kali boleh digunakan sebarang kayu. Tentang itu terdapat bermacam-macam pilihan orang. Ada yang memilih kayu "mali" kononnya supaya padinya nanti jadi teras berisi macam buah mali. Ada pula yang memilih batang bemban, kerana berkehendakkan pokok padinya licin seperti batang bemban itu sendiri dan tidak akan dapat dihinggapi panyakit. Selain daripada itu, sesetengah orang pula memilih turus pagar menjadi penandanya, kerana selagi turus pagar yang mati itu tidak mungkin berpucuk semula, selama itulah pula penyakit-penyakit tidak mungkin dapat menghampiri padinya.

Selanjutnya dalam memilih kayu buat menanda bumi sejuk itu, ada orang tidak memilih kayu mali, bemban atau lain-lain tetapi mereka memilih buluh. Kononnya, buluh itulah tumbuh-tumbuhan yang mula-mula sekali tumbuh di atas muka bumi ini. Kononnya, mengikut cerita, pada masa Tuhan hendak menumbuhkan tumbuh-tumbuhan di atas muka bumi ini Tuhan telah bertanya siapa di antaranya yang sanggup menerima segala bahaya, celaka, malang dan sial yang nanti berlaku di atas dunia ini. Itulah ditumbuhkan dahulu. Mendengar perkataan itu, semua tumbuhan diam termenung. Akhirnya bangunlah buluh menerima cabaran tersebut. Oleh yang demikian buluhlah yang dijadikan tumbuh-tumbuhan yang mula-mula sekali hidup di bumi ini, manakala tumbuh-tumbuhan yang mula-mula sekali tumbuh di kawasan tanah rata ialah sirih, kerana sirih sanggup menerima segala penawar dan hikmat yang sangat-sangat berguna untuk menolak malang dan sial yang datang daripada buluh.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
27 April 2024