CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 2-25 Akhir
Piama (musim) bendang

Sebelum membicarakan "piama bendang" eloklah terlebih dahulu diterangkan bagaimana keadaan hujan dan panas sepanjang tahun di Negeri Kedah. Negeri Kedah mengalami dua musim iaitu musim hujan dan musim kemarau. Musim hujan datang kira-kira dari bulan empat hingga bulan sebelas Masihi dan musim kemarau dari bulan sebelas hingga bulan empat Masihi. Musim hujan sebenarnya merupakan musim menanam dan musim kemarau pula musim memotong padi.

Kira-kira tengah dua bulan lamanya penduduk-penduduk Kedah berada di dalam suatu musim yang hampir-hampir setitik pun tidak turun hujan, iaitu sejak dari selepas memotong padi (kira-kira dalam bulan Februari), hingga ke bulan April. Mulai dari bulan itu hujan mula menampakkan diri dan panas terik yang membakar muka dan memeningkan kepala itu pun beransur-ansurlah kurang. Pohon-pohon yang sebelumnya kelihatan layu, sesetengahnya gondol kerana daunnya luruh, kini setelah direnjis hujan itu kelihatan segar sedikit dan kemudian mulai berpucuk semula. Tanah yang keras, kering dan berdebu mulai basah. Mengikut kata orang-orang tua, hujan itulah "hujan kopak kanji" iaitu hujan yang menumbuhkan kulat di tunggul kayu reput. Masa itulah bermulanya musim buah kayu di Kedah, dan itulah juga masanya binatang-binatang seperti kerbau dan lembu mulai galak dan mengiring. Ular keluar mencari air, di sana sini kedengaran orang menjadi mangsanya. Itulah ketika bermulanya piama bendang di Kedah.

Pada umumnya, orang-orang bendang tidaklah begitu mahir dengan tahun Masihi. Mereka lebih biasa dengan tahun Hijrah, tetapi dalam persawahan, tahun hijrah tidaklah menjadi seratus peratus bahan pengiraan mereka. Mereka ada satu cara pengiraan lagi iaitu mengikut "bulan piama". Perkara yang berhubung dengan musim persawahan bulan piama itulah yang menjadi pokok pengiraan mereka dari mana ambilan bulan piama itu dan perhubungan-perhubungan lain selanjutnya.

Sungguhpun orang-orang tua kita tidak mempelajari Ilmu Alam, tetapi mereka yang ahli dalam persawahan juga tahu yang piama bendang itu bergantung kepada matahari. Selanjutnya mereka berkata bahawa matahari beredar enam bulan di utara dan enam bulan di selatan. Mereka juga tahu yang matahari beredar hingga penghabisannya ke utara dan ke selatan daripada Khatulistiwa selama tiga bulan.

Apabila matahari berada di tengah-tengah, mengikut pengecaman mereka itulah menunjukkan bulan lima. Dalam bulan itulah hujan mulai turun dan bulan itu jugalah bermula piama bendang. Cara mereka mengetahui matahari berada di tengah-tengah ialah dengan melihat bayang-bayang ketika rembang. Jika bayang-bayang kita betul-betul berada di bawah tapak kaki atau jika memijak bayang-bayang itu menunjukkan masa itu bulan lima. Anggaran sebulan daripada itu masuklah bulan enam, diikuti dengan bulan tujuh selepas sebulan daripada itu. Demikianlah seterusnya. Ini bermakna apabila hujan mulai turun, bermulalah piama bendang.

Selain daripada itu ada pula pada orang-orang tua kita beberapa pengecaman yang berhubung dengan hujan ini. Pengecaman-pengecaman itu juga menolong mereka mengetahui masa hujan akan turun. Pengecaman-pengecaman itu samalah seperti hal-hal lain juga masing-masing dengan petuanya.

Sesetengah orang mengecamkan, bila tiba-tiba dalam musim kemarau atau dalam masa ketiadaan hujan ada ayam melompat ke atas pagar menunjukkan hujan akan turun. Selain itu kata mereka, kalau kita bersin beberapa kali berturut-turut, itu pun menandakan hujan akan turun. Ada pula orang bendang yang mengambil pengecaman hujan daripada ikan. Kononnya ikan lebih mengetahui akan hal-hal yang berhubung dengan hujan (bila akan turun dan bila akan berhenti) daripada kita manusia. Selanjutnya mereka percaya pengecaman daripada ikan merupakan pengecaman yang tidak boleh silap. Mereka percaya bila kelihatan ikan melompat-lompat dalam tempayan, telaga atau sebagai itu juga menunjukkan hujan hampir akan turun. Orang-orang yang mengetahui rahsia-rahsia ikan dengan lebih dalam lagi mereka mengetahui tentang keadaan hujan sama ada hendak turun atau berhenti. Mereka mempelajari keadaan hujan daripada telur-telur ikan dan daripada ikan-ikan yang mencerus (sekumpulan ikan menangkap di atas permukaan air).

Sesetengah ahli persawahan pula mengatakan bahawa cara mengetahui hujan itu ada pada diri kita sendiri. Kononnya apabila badan kita keluar air (kecuali kalau badan kita dalam keadaan yang kurang sihat), itu juga adalah alamat hujan akan turun. Perbezaan antara air dengan peluh itu mengikut petua mereka ialah peluh masin rasanya tetapi air tidak. Selain itu, peluh lambat kering, tetapi air sebaliknya. Sejauh mana benarnya pengecaman ini, sama ada logik atau tidak, terpulanglah kepada kita untuk memikirkannya bersama.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
27 April 2024