CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Sungai Petani Dalam Arus Pembangunan
- Sejarah Bandar Sungai Petani
Mula 1-1 Akhir
Sejarah Sungai Petani

Dari segi kedudukannya, Sungai Petani merupakan sebuah bandar yang agak strategik kerana terletak di tengah-tengah negeri Kedah. Pada umumnya, Sungai Petani terletak di kawasan lembah Sungai Merbok dan dilindungi oleh Gunung Jerai di sebelah utaranya. Bandar ini dapat dihubungi sama ada melalui pengangkutan darat dan sungai. Adalah dipercayai bahawa sebelum kedatangan Inggeris ke negeri Kedah pada tahun 1909, jalan air merupakan sistem perhubungan yang paling penting bagi Sungai Petani. Pada umumnya, terdapat beberapa buah sungai yang agak penting di Sungai Petani yang merupakan cawangan dari Sungai Merbok. Antara sungai yang utama dan penting adalah Sungai Petani dan sungai-sungai kecil yang lain seperti Sungai Pasir, Sungai Tiong, Sungai Layar, Sungai Gelugur dan Sungai Jagong. Di antara sungai-sungai cawangan tersebut, Sungai Petani adalah lebih penting kerana ia lebih besar dan dalam serta luas sehingga boleh dimudiki oleh kapal-kapal dagang yang besar. Pada masa dahulu, iaitu di sekitar tahun 1880an dipercayai bahawa Sungai Petani dapat dimudiki oleh kapal-kapal dagang dari Kota Muda melalui Sungai Merbok.

Sungai Petani dikatakan telah dibuka oleh orang-orang Patani dari Selatan Siam. Pembukaan tempat tersebut pada mulanya adalah untuk melarikan diri daripada serangan Siam selepas satu perang yang dikenali sebagai "Perang Musuh Bisik" di antara orang-orang Melayu Patani dengan orang-orang Siam. Akibat daripada kekalahan di dalam perang tersebut, orang-orang Melayu Patani terpaksa melarikan diri untuk mengelak dari ditangkap dan dihukum oleh pemerintah Siam. Kumpulan orang-orang Melayu Patani yang seramai kira-kira 300 orang telah melarikan diri melalui jalan laut sehingga mereka sampai ke muara Sungai Merbok lalu mudik melaluinya. Mereka akhirnya dikatakan sampai ke Sungai Petani lalu membuka penempatan di situ sebagai tempat perlindungan. Kedudukan Sungai Petani yang agak tersorok menyukarkan pihak Siam untuk mengesan tempat persembunyian orang-orang Melayu Patani tersebut. Peristiwa itu, dikatakan telah berlaku sekitar tahun 1800.

Pada umumnya, terdapat beberapa pendapat yang dapat dikemukakan tentang bagaimana Sungai Petani mendapat namanya. Di antara pendapat yang boleh diterima dan difikirkan logik adalah pendapat yang menyatakan bahawa Sungai Petani mendapat namanya dari kegiatan perdagangan, khususnya pedagang-pedagang dari Patani. Kegiatan perdagangan di antara Sungai Petani dengan kawasan-kawasan di sekitarnya melalui Sungai Merbok telah membawa kepada kemasukkan lebih ramai golongan dagang terutama sekali orang-orang Patani dari Selatan Siam. Pada mulanya, tujuan kedatangan mereka adalah uuntuk berdagang dan tidak tinggal di Sungai Petani secara menetap. Tetapi lama-kelamaan mereka mulai membuka penempatan di sekitar kawasan pertemuan Sungai Merbok dan Sungai Petani. Kawasan penempatan yang pada mulanya bersaiz kecil telah berkembang menjadi besar apabila jumlah mereka yang tinggal secara menetap semakin bertambah. Oleh kerana kedudukan perkampungan orang-orang Patani yang terletak di tepi sungai dan mereka sering kali menjalankan kegiatan perdagangan dengan penduduk maka timbul pertanyaan tentang tempat tinggal mereka. Lalu diterangkan yang mereka tinggal di tepi sungai di Kampung Patani. Sebutan ini kemudiannya disesuaikan menjadi Sungai Petani seperti yang diketahui pada hari ini.

Sementara itu, ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa nama Sungai Petani diperolehi dari kedudukan dua batang sungai yang berselari dan saling bertanding. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Petani dan Sungai Bumbung Lima. Mengikut pendapat ini nama Sungai Petani asalnya ialah Sungai Bertandin. Nama ini kemudian dikatakan telah diubah sebutnya menjadi Sungai Petani oleh Inggeris yang merasakan sukar untuk menyebut Sungai Bertandin.

 
   
 
     
 
 
   
 
 
     
 
     
15 May 2024