CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Ulama dan institusi pondok di Kedah
- Ulama
Mula 1-2 Akhir

Para ulama silam sesungguhnya mewakili gedung ilmu dan perwatakan muslim yang berjaya dalam kehidupan serta berjaya mendidik para pelajar dan orang dewasa dalam bidang ilmu agama. Kelahiran banyak tokoh agama dan kemunculan pusat-pusat pengajian agama seperti institusi pondok menjadi contoh yang baik dalam sejarah perkembangan pendidikan tanah air. Para ulama telah memainkan peranan yang besar dalam membentuk pemikiran dan sikap para pelajar dan anggota masyarakat setempat dengan meniup semangat kebangsaan bagi menentang segala bentuk penjajahan budaya, penjajahan pemikiran malah penjajahan negara oleh penjajah barat. Mereka menyeru supaya orang-orang Islam kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Perkataan ulama dari aspek etimologi adalah merupakan kata jamak bagi perkataan "alim" yang bermaksud orang yang berilmu sama ada ilmu agama seperti ilmu Fekah, Hadis, Tafsir, Tauhid atau lain-lain ilmu seperti ilmu tatabahasa Arab, ilmu Balaghah, ilmu hisab, sains, perubatan, kejuruteraan, politik dan lain-lain. Mengikut pengertian ini apabila seseorang individu dapat menguasai satu bidang ilmu atau lebih, maka beliau bolehlah dianggap sebagai ulama dalam bidangnya.

Para ulama merupakan golongan yang mempunyai autoriti dan berwibawa dalam ilmu yang membolehkan mereka mentafsir Al-Quran dan Hadis Nabawi dengan menafsiran yang tepat pada dasarnya di samping dapat membuat apa-apa penentuan ketika berlaku perselisihan pendapat berdasarkan kepada mana-mana rujukan yang dipilih secara ilmiah. Ulama juga merupakan pemimpin tempatan dalam tradisi hidup Islam dalam skop dan status tertentu. Kedah muncul sebagai sebuah negeri yang kaya dengan ulama. Di antara tahun 1850 - 1935, terdapat lebih 60 orang ulama di Kedah. Kebanyakan daripada mereka mendapat pendidikan di Patani. Mereka membawa pulang ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka dapati di sana, begitu juga dengan peraturan mengajar dan pembelajarannya. Kitab-kitab yang digunakan kebanyakannya adalah hasil usaha karangan dan terjemahan oleh alim ulama di Patani.

Bila membicarakan sejarah ulama silam di Negeri Kedah, kita perlu melihat secara ringkas sejarah bermulanya agama Islam di negeri ini yang mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan institusi pendidikan pondok dan kemunculan para ulama. Belum ada kata pemutus bilakah tarikh sebenarnya agama Islam bertapak dan tersebar di negeri Kedah kerana adanya pendapat yang berbeza-beza. Bagaimanapun sumber terakhir yang dapat dipegang kebenarannya setakat ini adalah berdasarkan buku "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah". Menurut penulisnya, Kedah diIslamkan oleh ulama dari Yaman bernama Sheikh Abdullah dalam tahun 531 Hijrah (1136 Masihi).

Bibliografi
Penghargaan
 
   
 
| Ulama | Senarai Nama Ulama |
 
 
   
 
 
     
 
     
26 April 2024