CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Bintang-bintang dan Darjah Kebesaran Negeri Kedah
- Panduan Bagi Menimbang Kelayakan CalonUntuk Kurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kedah Darul Aman
Mula 1-1 Akhir
Pendahuluan

Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Kedah Darul Aman biasanya dianugerahkan kepada mereka yang berbakti dan memberi perkhidmatan cemerlang kepada negeri dan negara bersesuaian dengan taraf kedudukan mereka. Kelayakan seseorang untuk menerima sesuatu Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat adalah dijelaskan secara ringkas seperti dalam perenggan-perenggan di bawah ini.

Bintang Keberanian Kedah (B.K.K.)
Merupakan Bintang Keberanian yang tertinggi sekali dan paling kanan dalam senarai keutamaan. Anugerah ini dikurniakan kepada anggota Angkatan Bersenjata dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan keberaniaan yang luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani dan penuh pengorbanan. Sekurang-kurangnya dua orang menyaksikan perbuatannya. Anugerah ini boleh dikurniakan kepada seseorang walaupun ianya telah meninggal dunia.

Darjah Kerabat (D.K.)
Darjah Kerabat ini adalah dikhaskan kepada Kerabat-Kerabat DiRaja sahaja. Dianugerahkan atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Darjah Kerabat Halimi (D.K.H.)
Darjah Kerabat Halimi ini adalah juga dikhaskan kepada Kerabat-Kerabat Di Raja sahaja. Juga atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

Darjah Utama Kedah (D.U.K.)
Darjah yang paling mulia dan dikurniakan kepada mereka yang telah membuat jasa yang cemerlang kepada negara selama beberapa waktu dengan penuh tanggungjawab. Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi serta berpengaruh. Darjah ini terhad kepada tiga orang (yang hidup) sahaja dalam sesuatu masa.dan jarang-jarang sekali dianugerahkan.

Bintang Perkasa Kedah (B.P.K.)
Dikurniakan kepada anggota Angkatan Bersenjata dan Pasukan Polis yang berpangkat Pegawai yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah dan berani yang patut diiktirafkan iaitu taraf keberaniannya tidaklah begitu tinggi untuk dianugerahkan bintang B.K.K.. Bintang ini boleh dikurniakan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

Seri Paduka Mahkota Kedah (S.P.M.K.)
Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukan serta terkenal kerana khidmat cemerlang kepada negeri dan negara dalam apa jua lapangan. Penerimanya akan mendapat gelaran Dato Seri. Darjah ini merupakan yang paling kanan sekali. Pengurniaan darjah ini terhad kepada 20 orang.

Seri Setia DiRaja Kedah (S.S.D.K.)
Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukannya serta terkenal kerana perkhidmatan cemerlang mereka kepada negeri dan negara dalam apa jua lapangan. Pengurniaan darjah ini terhad kepada 25 orang sahaja dan penerimanya akan mendapat galaran Dato Seri.

Dato Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (D.H.M.S.)
Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukannya dan telah membuat jasa cemerlang kepada negeri dan negara. Penerimanya akan mendapat gelaran Dato Paduka.

Dato Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.)
Darjah Pangkat Kedua kepada Darjah Yang Mulia Seri Mahkota dan dikurniakan kepada mereka yang telah membuat jasa yang cemerlang kepada negeri dan negara selama beberapa waktu, dengan penuh rasa tanggungjawab. Dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi serta berpengaruh. Kurniaan ini terhad kepada 100 orang sahaja. Bagi pegawai-pegawai kerajaan, Darjah ini sesuai bagi mereka dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau setaraf dengannya.

Dato Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.)
Darjah Pangkat Kedua kepada Darjah Yang Mulia Seri Setia. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang telah banyak membuat jasa cemerlang kepada negeri dan negara dengan penuh rasa tanggungjawab dan mempunyai pengaruh yang luas serta bertaraf tinggi. Pengurniaan ini terhad kepada 150 orang sahaja. Bagi pegawai-pegawai kerajaan, darjah ini sesuai bagi mereka dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional atau setaraf dengannya.

Pingat Perkasa Kedah (P.P.K.)
Dikurniakan kepada anggota Angkatan Bersenjata dan Pasukan Polis yang bukan berpangkat pegawai dan telah menunjukkan atau telah melakukan sesuatu yang dianggap gagah dan berani yang patut diiktiraf, akan tetapi taraf keberanian tidaklah sebegitu tinggi untuk dianugerahkan bintang B.K.K.. Kurniaan ini boleh dikurniakan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

Pingat Sultan Badlishah (P.S.B.)
Dianugerahkan kepada seseorang yang berkhidmat dengan taat dan setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia - (Bertugas paling rapat dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia). Pingat ini dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia tanpa pencalonan.

Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K.)
Bintang ini dikurniakan sebagai hadiah di atas perkhidmatan cemerlang seseorang itu yang telah berjasa dan berbakti atas perkhidmatan yang tinggi mutunya. Telah menjalankan tugas-tugas berlebihan daripada tugas-tugasnya. Bintang ini dikurniakan kepada seseorang yang berpangkat pegawai atau yang setaraf dengannya.

Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (P.C.K.)
Bintang ini dikurniakan sebagai hadiah di atas perkhidmatan cemerlang seseorang itu yang telah berjasa dan berbakti atas perkhidmatan yang tinggi mutunya. Telah menjalankan tugas-tugas berlebihan daripada tugas-tugasnya. Bintang ini dikurniakan kepada kumpulan sokongan dan ke bawah atau yang setaraf dengannya.

Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M.)
Bintang ini dikurniakan kepada seseorang yang telah membuat kebaktian dan banyak jasa yang telah disumbangkan secara sukarela. Dikurniakan kepada mereka yang bukan dalam perkhidmatan. Sekiranya seseorang itu dalam perkhidmatan kerajaan boleh dipertimbangkan sekiranya berkelayakkan.

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.)
Pingat ini dikurniakan kepada seseorang yang telah menyumbangkan khidmat dan telah menunjukkan perkhidmatan taat, setia dan berbakti kepada negeri dan negara dalam apa jua lapangan sekali pun.

Bintang Perkhidmatan Lama
Bintang ini dikurniakan kepada seseorang Pegawai Kerajaan yang berpangkat Pegawai yang telah berkhidmat dengan kerajaan selama 21 tahun berturut-turut dengan syarat rekod pekerjaannya bersih.

Pingat Perkhidmatan Lama
Bintang ini dikurniakan kepada seseorang Pegawai Kerajaan dalam kumpulan sokongan dan ke bawah yang telah berkhidmat dengan kerajaan selama 21 tahun berturut-turut dengan syarat rekod pekerjaannya bersih.

 
 
   
 
 
     
 
     
26 April 2024