Asal Usul
Ibu Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bernama Cik Menjalara, merupakan anak Ketua Negeri Mataban, dalam jajahan Siam. Pendidikan formal Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bermula ketika berusia 6 tahun di sekolah Melayu dan seterusnya di Sekolah Inggeris Kerajaan yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Kemudian YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dihantar belajar di Siam di Sekolah Debsirinder, Bangkok ketika berusia 12 tahun. Apabila kekandanya Tunku Yusuf yang menjaganya di Bangkok meninggal dunia, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berpindah ke Penang Free School, Pulau Pinang pada tahun 1915.
Pada tahun 1919, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dikurniakan hadiah pelajaran negeri Kedah ke England dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari St. Catherine College, Universiti Cambridge pada tahun 1925. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bolehlah dianggap sebagai anak Melayu yang pertama lulus universiti di England.
Selepas itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meneruskan pula pengajiannya dalam bidang perundangan di Inner Temple, England. Semasa menuntut di England, jiwanya tersentuh dengan lagak bangsa penjajah yang memandang rendah kepada bangsa yang dijajah. Ini mendorongnya menubuhkan "Persatuan Anak-anak Melayu Great Britain" pada tahun 1927 yang bertujuan menyatupadukan pelajar-pelajar Melayu di sana serta menyemaikan semangat Kemerdekaan. Beliau juga menyertai "Majlis" iaitu sebuah persatuan pelajar India - Muslim yang melaung-laungkan sentiment anti-penjajah British.
Di sinilah beliau mula berjinak dalam bidang politik apabila menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain dan menjadi setiausahanya yang pertama. Bagaimanapun, apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj gagal dalam peperiksaan, beliau pulang ke tanahair dan berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di beberapa tempat di Kedah.
Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1931, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memasuki Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Padang Terap, Kuala Nerang, Pulau Langkawi dan Kulim.
Pada tahun 1938, sekali lagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England, kali ini untuk mengikut kursus undang-undang namun pengajiannya terbantut apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.
Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke tanahair dan bergiat cergas dalam SABERKAS. SABERKAS adalah singkatan kepada "Syarikat Bekerjasama Am Saiburi". Saiburi adalah nama Kedah dalam bahasa Siam namun maksud sebenarnya ialah "Sayang Akan Bangsa Redha Korban Apa Segala". Beliau banyak melakukan kerja-kerja kebajikan semasa pemerintahan tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali muncul, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyertai Kesatuan Melayu Kedah.
Demi menyempurnakan cita-citanya menjadi seorang peguam pada tahun 1947, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England sekali lagi untuk menyambung pengajian undang-undangnya setelah tergendala selama 25 tahun. Pada tahun 1949 Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lulus dari Cambridge Universiti dan ditauliahkan sebagai peguam.
Sekembalinya ke tanahair Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertugas sebagai Pendakwaraya di Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.
Semasa pemerintahan Jepun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diberi jawatan sebagai Penyelia Pelajaran Negeri Kedah. Di antara tahun 1947 hingga 1949 berlaku pergolakan politik yang hebat di Tanah Melayu. Pada masa itulah Almarhum YTMTunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke England untuk meneruskan pengajian perundangan beliau di Inns of Court dan kembali ke tanahair dengan segulung ijazah peguam dan harapan untuk mengembagkan dasar demokrasi.
Pada masa itu beliau berumur 45 tahun dan telahpun berkahwin dengan Sharifah Rodziah bt. Syed Alwi Barakbah. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah berkahwin sebelumnya dengan seorang gadis bernama Meriam pada tahun 1933, malangnya Meriam meninggal dunia akibat demam malaria. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah juga berkahwin dengan Violet Coulson pada tahun 1935 tetapi perkahwinan itu tidak berkekalan. |