CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Permainan Tradisional
- Jenis Permainan Tradisional
Mula 10-10 Akhir
Toi

TOI - begitulah nama satu permainan yang sering dimainkan oleh kanak-kanak. Permainan ini bukan sahaja terkenal di kalangan kanak-kanak desa, malah di bandar juga. Namun sehingga ke hari ini perkataan toi itu tidak dapat dipastikan maknanya, dari mana dan bagaimana diperolehi. Anggaplah perkataan itu satu istilah khusus dalam permainan ini. Yang pasti, perkataan toi dilaungkan sebaik-baik sahaja permainan dimulakan, memperolehi mata dan mencapai kemenangan. Toi adalah sejenis permainan yang memerlukan gelanggang. Satu kawasan luas yang lapang dan rata diperlukan. Kawasan yang sempit, berlopak atau tidak rata, tidak sesuai untuk permainan ini.

Pada kebiasaannya gelanggang badminton atau sepak takraw amat sesuai digunakan untuk tujuan permainan ini. Garisan-garisan gelanggang toi perlu ditandakan: digaris di atas tanah, dilukis dengan kapur di atas simen atau dipancang dengan tali ke padang berumput.

Garisan-garisan ini menunjukan kuasa pergerakkan si penjaga garisan. Maknanya si ketua boleh bergerak ke kiri dan ke kanan di bahagian hadapan gelanggang. Anak-anak buah si ketua pula hanya boleh bergerak ke kiri dan ke kanan di atas garisan masing-masing. Dalam kebanyakkan permainan, konsep berlawan pasti wujud. Malah inilah yang seronok dan mencetus keinginan berlumba-lumba mengatasi saingan. Inilah juga yang berlaku dalan permainan toi. Lebih ramai pemain, lebih kecohlah gelanggang itu. Satu undian dilakukan untuk memastikan siapa jadi "jaga"? siapa dapat "jalan"? oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa menang dia dapat jalan. Sudah menjadi dominan pula pihak yang kalah tidak pernah bernasib baik dan menjadi "jaga".

Biasanya ketua "jaga" adalah seorang yang tangkas, kuat berlari, tajam penglihatan dan pandai menjangka pergerakkan lawan. Ketua "jaga" harus cekap mengarah anak buahnya bertindak apabila perlu. Tugas pasukan "jaga" yang utama ialah mematikan pasukan "jalan". Jika pasukan "jalan" mati, mereka pula berpeluang menjadi pasukan penyerang ("jalan") dan memungut mata.

Bagi pasukan "jalan" pula, tiada ketua dalam permainan. Pergerakkan mereka biasanya tidak terancang dan tidak terarah. Setiap pergerakkan lebih bersifat spontan dan individu. Namun adakalanya salah seorang memberi isyarat untuk bertindak atau mengelirukan "jaga" agar garisan dapat direntasi tanpa disentuh oleh "jaga".

Bagi memulakan permainan, salah seorang ahli pasukan "jalan" akan berjabat, bertampar atau mencuit ketua pasukan "jaga". Serentak dengan itu, mereka meneriakkan perkataan "toi" dan pasukan "jalan" akan cuba melepasi garisan demi garisan untuk sampai ke petak belakang gelanggang dan kemudiannya keluar semula melalui garisan hadapan. Pemain tidak boleh berpatah balik sebelum ke petak paling hujung. Jika misi ini berjaya disempurnakan oleh salah seorang ahli pasukan "jalan" , satu mata dikutip dan permainan dimulakan sekali lagi untuk memungut mata keduanya.

Apabila mana-mana pemain berjaya mengutip mata, maka dia akan meneriakkan "toi". Serentak dibalas oleh pasukannya, "toi" juga. Sesungguhnya permainan toi memang menghiburkan. Begitu pun, kerjasama dan toleransi amat diperlukan terutama dalam keadaan terdesak.

     
 

Salah seorang berjaya berpatah balik dan kembali ke garisan asal dan meneriakkan 'TOI'
 
     
 
   
 
| Batu Selambut | Laga Biji Getah | Jengkek Kapal Terbang | Tuju Para | Congkak | Sepak Bulu Ayam | Ketuk Pedang | Rebut Tiang | Tuju Pot (Tin) | Toi |
 
 
   
 
 
     
 
     
22 August 2018