|
Haji Hussain Che Dol
Haji Hussain Che Dol dilahirkan di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah pada tahun 1904. Beliau datang dari keluarga pondok di mana bapanya, Ismail Che Dol merupakan tokoh ulama terkenal di Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya selaku gurunya. Selepas itu, beliau mendalami pengajian di selatan Siam dan telah berguru dengan Haji Abdullah Chauk, Patani. Selepas empat tahun mendalami ilmu di Siam, beliau pergi ke Mekah. Semasa di Mekah, beliau telah jatuh sakit dan disebabkan keuzuran itu, beliau kembali ke tanahair lalu menyambung pengajian di Pondok Chauk, Patani.
Haji Hussain Che Dol pernah membuka pondok sendiri di Guar Cempedak, Kedah dan memimpin pelajar yang datang dari pelbagai tempat di seluruh Tanah Melayu. Beliau meneruskan kerjayanya sebagai guru di pondok bapanya iaitu di Gajah Mati. Selepas itu, beliau berhijrah ke Kampung Paklat, Bangkok sambil berdakwah kepada masyarakat Islam di sekitar Bangkok selama tiga tahun. Kemudiannya, beliau kembali ke Gajah Mati untuk mengembangkan syiar Islam. Pada tahun1930-an, beliau dikenali sebagai qari terkemuka di Kedah. Beliau juga merupakan seorang pemidato yang baik, terutamanya dalam menyampaikan ceramah agama. Beliau telah membuka pondok sendiri yang diberi nama Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah di Guar Cempedak.
Haji Hussain merupakan seorang ulama yang mahir dalam ilmu Fiqh serta mahir bercakap Bahasa Inggeris. Beliau mempelajari Bahasa Inggeris daripada seorang guru iaitu Che Maidin yang berasal dari Perak. Beliau merupakan seorang ulama dan pemimpin ulung yang bukan sahaja berjuang menegakkan keagungan dan kesucian Islam malahan turut membangunkan kesedaran umat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Pada 12 Mei 1967, Warta Negara melaporkan mengenai pemergian Haji Hussain Che Dol ke rahmatullah di rumah kediamannya di Guar Cempedak kerana penyakit darah tinggi. |
|