CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 5-25 Akhir
Turun ke bendang

Sudah adat orang Melayu, dalam memulakan sesuatu pekerjaan, ada dengan syarat-syarat dan petua-petua serta langkah-langkah tertentu mengikut guru masing-masing, yang berasaskan kepada ketika atau saat-saat yang sempurna. Orang-orang yang berpegang kuat kepada adat dan orang-orang yang masih tebal dengan kepercayaan-kepercayaan ini terutama dalam masyarakat silam, tidaklah mereka mahu mencuaikan langkah mula ini, terutama dalam pekerjaan besar seperti kerja persawahan ini.

Pendeknya, pada orang-orang ahli bendang atau anak bendang jati mereka tidak akan memulakan "menggala" (menenggala) tanah sawah mereka jika tidak pada hari dan saat yang sudah dikira tidak mendatangkan apa-apa aral yang boleh menyebabkan terbengkalainya pekerjaan yang besar itu. Hari, masa dan ketika itu terpulanglah kepada petua masing-masing. Ada yang mengira mengikut tilik daripada "peredaran naga" yang empat kali setahun itu. Ada pula yang mengikut "peredaran jekin" dan ada pula yang meniliknya dari hari lahirnya dan berbagai-bagailah lagi.

Biasanya pada hari mula menggala, mengikut amalan mereka hendaklah sekurang-kurangnya ditenggala tiga kali keliling petak sawah itu. Menjadi satu larangan sekiranya ditenggala kurang daripada tiga keliling pada hari mula itu. Selama tiga hari berturut-turut pula dan janganlah di selang. Takdirnya ada kematian atau apa-apa hal mustahak yang mesti di dahulukan dalam hari yang kedua dan ketiga itu hendaklah pergi ke sawah juga walaupun dapat di tenggala satu keliling sahaja.

Oleh sebab tapak semaian merupakan petak mesti disiapkan dahulu, terawal daripada petak-petak lain, petak itulah yang biasanya didahulukan kerja menenggalanya. Kerja-kerja menyiapkan petak itu pula lebih dihalusi daripada yang lain-lainnya, kerana daripada petak tersebutlah akan terbitnya semai-semai yang nanti menentukan baik buruknya hasil padi pada tahun itu.

Elok juga diterangkan bahawa kerja yang mula-mula sekali dalam menyediakan tanah itu ialah "menggala". Kerja mengala ini biasanya tidaklah memadai dengan sekali lalu sahaja. Bagi orang-orang yang rajin, ditenggalanya tanah itu dua tiga kali sehingga cukup elok. Menggala kali kedua dan seterusnya itu biasanya dipanggil "memalik".

Setelah siap menggala, tanah tenggala itu kemudian dibongkar. Kerja "membongkar" ialah meratakan tahi-tahi tenggala (ketul-ketul tanah yang timbul selepas mengala) dan membuat batas daripada rumput yang terbit daripada tahi tenggala tadi. Lima malam kemudian, batas itu dialih dan diubah tempatnya. Kerja tersebut dipanggil "mengalih". Kerja mengalih ini juga dibuat sehingga beberapa kali sehingga reput relai rumput itu.

Kerja yang ketiga pula dalam persiapan tanah ini ialah "merata". Apabila kerja menggala sudah selesai beberapa kali dibuat sehingga rumput menjadi reput, tanah petak diratakan. Lepas itu barulah tanah itu siap dan boleh dilakukan pula pekerjaan menanam atau menabur benih.

Pada orang-orang yang cermat lagi halusi terutama pada petak semai, setelah siap diratakan dikerjakan pula sekali lagi tanah itu sehingga menjadi lebih halus dan rata. Kerja itu disebut "badai". Pekerjaan "membongkar, mengalih, merata dan badai" ini, semuanya menggunakan alat yang dipanggil "sisir".

Di setengah-setengah tempat berlainan sedikit cara menyediakan tanah itu. Perbezaan yang di maksudkan itu ialah tentang "menajak" sebagai menggantikan "menggala". Ada beberapa sebab terjadinya perbezaan itu. Pertama kerana di tempat orang menajak itu airnya dalam dan tanahnya serua (lembut gebu). Kalau digunakan tenggala pada tanah itu tentulah kaki kerbau yang menarik tenggala itu akan terperus ke dalam tanah, demikian juga kaki kita sendiri, menyebabkan pekerjaan menyediakan tanah menjadi lebih susah.

Mengikut penerangan yang diberi, oleh kerana tanah itu terlalu lembut terlalu dalamlah makannya mata tenggala itu sehingga tidak berkuasa lagi kerbau menariknya keluar. Lagipun tujuan menggala ialah kerana hendak melembutkan tanah supaya padi menjadi subur, pada hal tanah di situ telah cukup lembut tentulah sia-sia pekerjaan menggala itu dilakukan di situ, menyebabkan padi menjadi "gila daun" (menjadi gemuk hingga menyebabkan kurang buahnya).

Ada pula orang menajak sebab tanahnya gambut atau menerung terlalu tinggi. Sekiranya demikian susahlah hendak menggala kerana mata tenggala tidak dapat masuk ke dalam tanah. Selain itu ada pula tempat-tempat yang terlalu banyak tunggul kayu. Ini biasanya terdapat pada tanah-tanah yang baru dibuka seperti tanah hutan gelam atau lain-lain.

Selanjutnya, setengah-setengah tempat pula orang menajak kerana sudah menjadi adat mereka melakukan demikian. Pada mereka menggala boleh merugikan mereka, kerana di atas batas-batas kapar itu, dapat ditanam dengan labu, kundur dan sebagainya. Sebelum padi masak mereka dapat makan sayur-sayuran itu.

Sesetengah daripada mereka yang menajak pula menganggapkan kerja menggala itu lebih teruk daripada menajak. Di Kedah pada umumnya, orang lebih suka menggala. Tanah yang baru dipugar diikhtiarkan seberapa daya supaya dalam setahun dua sahaja selepas dipugar tanah dapat ditenggalakan.

Biasanya, selepas menajak ditenggilingkan pula tanah itu dengan "tenggiling" supaya tanah menjadi lumat. Lepas itu dikais kapar (sampah sarap) lalu dibuat batas atau longgok-longgok kecil. Setelah beberapa kali mengalih kapar dan merintis rumput yang masih menonjol keluar, telah sedialah tanah itu untuk ditanam.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
29 March 2024