Maktab Mahmud
Maktab Mahmud telah diasaskan oleh Almarhum Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1936. Mempunyai satu evolusi terhadap perkembangan Maktab Mahmud semenjak pengasasannya pada tahun 1936 sehingga ia sampai ke tahap kematangan dalam tahun 1980an. Bermula daripada sebuah rumah papan yang usang, sebuah madrasah pula telah didirikan untuk menggantikannya. Kemudian perkembangan pelajaran agama yang semakin pesat telah membawa kepada terdirinya sebuah bangunan sekolah agama yang begitu terkenal sehingga kini.
Sikap raja dan sistem pemerintahan yang mementingkan soal Islam membawa kepada lahirnya ramai ulama Islam yang berketerampilan dan berwibawa. Golongan inilah yang menjadi pengasas kepada beberapa institusi pendidikan agama di Negeri Kedah. Penubuhan Maktab Mahmud merupakan inisiatif Tengku Mahmud Ibni Almarhum Tunku Ahmad Tajuddin, Regent Negeri Kedah dan President State Council pada masa itu. Pada masa yang sama juga muncul seorang ulama yang terkenal di Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik. Kedua-dua golongan aristokrat inilah yang memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Maktab Mahmud. Bermula dengan pengasasan Madrasah Hamidiyah di Limbong Kapal, dengan hasrat kedua-dua tokoh tersebut untuk melihat perkembangan pendidikan agama Islam yang lebih tinggi, maka arahan dikeluarkan supaya Maktab Mahmud didirikan.
Maktab Mahmud kini telah mempunyai penambahan bangunan baru iaitu sebuah masjid, perpustakaan, asrama pelajar lelaki, beberapa blok pentadbiran dan bilik darjah. Sehingga ke hari ini, Maktab Mahmud masih kekal menjadi salah sebuah institusi pengajian Islam yang ulung dan terus berperanan melahirkan golongan intelek Islam yang bertanggungjawab. |