CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 24-25 Akhir
Permainan-permainan lain

Bukan berpantun sahaja yang menjadi permainan kanak-kanak pada malam itu.. Mereka yang lebih kecil atau yang agak malas bekerja, selalu sahaja lari meninggalkan kerja mereka dan pergi bermain berlompatan ke sana ke mari . Di antara permainan-permainan yang menarik hati yang tidak lagi kedapatan dimainkan oleh kanak-kanak hari ini ialah "olek kera", "olek gajah" dan "olek gambuh".

Olek Kera

Permainan olek kera ini sekurang-kurangnya hendaklah terdiri daripada tiga orang. Di antara mereka terpilih pula seorang yang suka menjadi kera. Yang dua lagi itu hendaklah mengambil sehelai kain dan disentungkan kepada budak yang menjadi kera itu supaya kain itu terletak di atas tengkuknya. Lepas itu hendaklah kedua-dua mereka berdiri di hadapan budak itu dengan memegang kain tadi. Lagi "olek kera" dinyanyikan oleh kedua-dua mereka sambil menarik kain itu melalui atas tengkuk budak tersebut ke kiri dan kanan:
Cop mali cop,
Cop galas ubi,
Mana kayu bongkok,
Bapak kera meniti,
Titi tak titi,
Titi angguk anggai,
Jadi tak jadi,
Jadi bapak kera tunggai (tunggal)

Hendaklah dibuat demikian sehingga budak itu khayal dan letih dengan nyanyian dan tarikan yang beruang-ulang itu sehingga dia lupa dan "tak sedarkan diri".

Apabila terjadi demikian, biasanya budak itu menggelupur sambil berbunyi semacam, bunyi suara kera dan hendak menggigit-gigit orang. Kemudian seorang di antara mereka yang berdua lagi berkata :
Aku jadi tuan hang ni

Budak itu akan menyahut:
Ya

Lepas itu dia ditambat jauh-jauh supaya tidak dapat menggigit orang.

Kononnya pernah terjadi budak yang menjadi kera itu betul-betul tidak sedarkan diri. Untuk memulihkannya semula hendaklah dipanggil namanya.

Olek Gajah

Olek gajah sama cara bermainnya dengan olek kera, hanya nyanyiannya sahaja yang berlainan. Nyanyian olek gajah dalam bahasa Siam, bunyinya:
Cang cang tak torang,
Cang kin mai pai,
Mu kin bon,
Pan pon kin kai.

Bermaksud:
Gajah gajah terbang pokok tepus,
Gajah makan rebung,
Babi makan keladi,
Jebon makan ayam

Kononnya ada pula cerita bagaimana asalnya binatang gajah itu mula makan rebung. Dua orang budak adik beradik pergi mengaji. Pada satu hari mereka terasa lapar lalu berhenti di bawah rumpun buluh. Apabila dilihat mereka rebung buluh, mereka tertarik hati hendak memakannya . semasa mereka memakannya, mereka ditegur oleh gedembai (sang kelambai) lalu menjadi gajah.

Mengikut cerita selanjutnya, kedua-dua budak itu hanya sempat mempelajari dua huruf sahaja, iaitu "dal" dan "ha". Sebab itulah kononnya apabila gajah hendak mengambil makanan dengan belalainya kalau tuannya berkata "dai" (dal), ia tidak jadi mengambilnya. Semasa gajah berjalan pula kalau tuannya berkata "ha", ia akan berhenti.

Olek gambuh

Olek gambuh "pun" samalah caranya dengan olek-olek yang lain itu. Yang berbezanya ialah nyanyiannya dan tujuan olek itu saja. Olek gabuh bertujuan untuk memberi budak itu tidak sedarkan dirinya supaya dapat dilawan bersilat.

Setelah kedua-dua budak itu tidak sedarkan diri mereka dilepaskan masuk ke tengah gelanggang yang dikelilingi oleh budak-budak lain. Orang-orang yang melihat hendaklah duduk supaya kedua-dua mereka tidak salah tuju. Apabila kelihatan mereka penat atau harus akan melarat atau merbahaya, keluarkanlah dua orang budak lain memeluk kedua-dua budak tadi . Kononnya apabila kena pelukan itu mereka akan pulih semula.

Inilah nyanyian olek gambuh itu:
Gambuh gambuh kecapi ngacik,
Cik Nang Ali Cik Nang Gong,
Susun sireh kelopak jantung,
Asam kandih (kandis) di dalam puan,
Bangkit ngacik mengolek ngacik,
Ngacik tenang ke badan nyawa.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
19 April 2024