CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Merdeka! Merdeka! Mederka!
- Riwayat Hidup YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Mula 3-4 Akhir
Keistimewaan

Pada 13 Januari 1956, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai rombongan perundingan Merdeka yang disertai oleh 4 orang wakil Raja Melayu dan 4 orang wakil Parti Perikatan di Lancester House dan pada 8 Februari 1956, beliau menandatangani Perjanjian Merdeka. Pada 31 Ogos 1957, Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan, Merdeka! Merdeka! Merdeka! Di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama dan dalam masa yang sama memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Sebagai Perdana Menteri Malaya yang pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah bertindak lancar dengan mencipta polisi-polisi baru. Tunku Abdul Rahman memulakan beberapa projek pembangunan, di antaranya ialah membina Masjid Negara, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara dan Tugu Kebangsaan. Pada tahun 1957, Pertandingan Bola Sepak Piala Merdeka di buka kepada semua negara kecuali Israel. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengasaskan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha beliau untuk memperkayakan warisan Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) dan memeterai perjanjian penubuhannya pada tahun 1961 dengan Thailand dan Filipina. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang yang keras menentang dasar apartied Afrika Selatan sehingga negara itu disingkirkan keahliannya dari Komanwel dalam Persidangan Komanwel di London.

Untuk mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam serta meningkatkan syiar Islam, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan negara menganjurkan Pertandingan membaca Al-Quran peringkat antarabangsa. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah peminat sukan yang serius, beliau telah mengembangkan minatnya ke peringkat negara apabila Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka pada setiap tahun yang menyumbang kepada negara ini muncul sebagai gergasi bolasepak Asia ketika itu.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, satu gagasan persekutuan yang terdiri dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, beliau dengan berat hati kemudiannya telah menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tindakannya adalah didasarkan kepada anggapannya bahawa Singapura adalah "barah yang harus dibuang" demi mengelakkan kacau-bilau politik merebak ke seluruh negara.

Bagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ini perlu dilakukan demi keamanan negara ketika itu. Pada tahun 1969, pergolakan politik telah membawa kepada peristiwa hitam "13 Mei". Pada masa itu, beberapa pemimpin muda yang berfikiran radikal mendesak Almarhum untuk meletak jawatan. Beliau dikritik kerana kurang melaksanakan dasar pro-Melayu sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj enggan berbuat demikian sehinggalah masalah itu dapat diselesaikan. Ekoran dari insiden itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada Tun Razak yang mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Akhirnya, pada 21 September 1970 tamatlah satu era apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia dan menerima pelawaan Raja Faizal dari Jeddah. Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-22 pada 23-24 Januari 1971, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan Yang DiPertua UMNO dan Tun Razak disahkan sebulat suara sebagai penggantinya.

Walaupun telah bersara, beliau menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Almarhum YTM Tunku Abdul RAhman Putra Al-Haj banyak menabur jasa dan mengharumkan Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau mendapat anugerah-anugerah akademik dan sukan dari dalam dan luar negara di samping menerima darjah-darjah kebesaran. Walau setinggi mana pencapaian beliau, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tetap seorang yang merendah diri dan sentiasa memikirkan kebaikan rakyat.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggal dunia pada 6 Disember 1990 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan disemadikan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar. Jasa-jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan akan sentiasa dikenang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

Penghargaan
 
   
 
| Era | Asal Usul | Keistimewaan | Peranan Dan Sumbangan |
 
 
   
 
 
     
 
     
29 March 2024