CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Permainan Tradisional
- Jenis Permainan Tradisional
Mula 3-10 Akhir
Jengkek Kapal Terbang

Matlamat utama bagi apa jua permainan tentunya tidak lari daripada memberi hiburan dan kegembiraan. Di samping itu, secara tidak langsung wawasan riadah ialah untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sentiasa dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini. Permainan ini popular dengan nama "Jengkek Kapal Terbang".

Permainan ini boleh dikatakan sudah sebati kepada kanak-kanak perempuan memandangkan sebahagian besar pemain yang mengambil bahagian ialah kanak-kanak perempuan. Namun begitu, tidaklah terlalu janggal sekiranya kanak-kanak lelaki pun turut bermain sama. Namun, "kapal terbang" itu diperolehi daripada petak atau gelanggang itu yang khusus dibina untuk bermain. Gelanggangnya terdiri daripada petak-petak empat persegi yang disusun sedemikian rupa yang menampakkan imej sebuah "kapal terbang". Terdapat lima petak empat segi yang dilakarkan sebaris. Pada petak ke empat terdapat tambahan satu petak lagi di kiri dan satu lagi di kanan yang menimbulkan rupa sekali imbas seperti sayap kapal terbang. Di sebelah kanan pada petak pertama pula terdapat tambahan petak yang berukuran separuh petak yang dipanggil "tangga" yang kelihatan seperti ekor kapal terbang.

Kawasan bermain jengkek ini tidak perlu luas. Memadai jika kawasan itu dapat menampung 8 buah petak. Kanak-kanak perempuan terutamanya tetap menunjukkan kewibawaan mereka. Sedar dan tahu pentingnya keselamatan, mereka memberikan perhatian yang sewajarnya ke atas tapak permainan. Jika terdapat tunggul atau kayu, maka dibersihkan dahulu. Keselamatan tapak perlu dititikberatkan kerana tapak tidak mudah dipindah-pindahkan. Paling kurang, permainan ini dimainkan oleh 2 orang. Jika lebih ramai yang terlibat, tentu lebih seronok.

Sebelum itu "buah" untuk permainan mesti disediakan, ianya diperbuat daripada sesuatu objek yang agak sesuai contohnya kepingan papan penutup botol dan apa sahaja asalkan berat agar hasil lemparan nanti lebih mantap. Bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu, satu undian yang unik dijalankan. Masing-masing berdiri bahu-membahu membelakangi garisan tadi. Kemudian masing-masing melempar "buah" secara membelakang, sejauh yang mungkin. Siapa yang jauh mendapat hak bermain yang pertama.

Permainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam pusingan pertama pemain disyaratkan membawa "buah" dengan cara menatangnya di atas belakang tapak tangan. Jika "buah" terjatuh, pemain dikira "mati". Ini bermakna pemain seterusnya mendapat peluang berjengkek. Jika pemain berjaya menamatkan 9 "ting" dan 2 "Brak" tanpa menjatuhkan "buah", dia perlu melambung "buah" dan menyambutnya secara kaut dengan kedudukan tapak tangan menghala ke bawah.

Kemudian barulah dia berhak mendapatkan "rumah". "Buah" mestilah mendarat di mana-mana petak iaitu dengan melempar membelakangi gelanggang untuk mendapatkan rumah. Dengan itu, pemain lain tidak boleh bertingting lagi dalam petak "rumah" orang. Pemain lain boleh bertingting di petak "rumah" orang dengan kebenaran tuannya.

Nilai juara dalam permainan tingting kapal terbang terletak pada "kemewahan" iaitu banyaknya "rumah" yang berjaya dimiliki seseorang pemain. Malah permainan itu terpaksa ditamatkan apabila semua petak sudah bertukar menjadi "rumah". Namun bukanlah secepat dan semudah itu menukarkan semua petak menjadi "rumah". Seandainya "buah" yang dilemparkan mendarat di "rumah" sendiri, maka rumah itu di kira "hangus" iaitu bertukar menjadi petak semula dan pemain dikira "mati".

Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran.

     
 

Sistem undian yang unik dijalankan. Satu garisan panjang dilakarkan di atas tanah, masing-masing berdiri bahu membahu membelakangi garisan dan melemparkan "IBU" sejauh yang mungkin. Giliran pemain ditentukan dengan melihat jarak masing-masing dari garisan.

Lakaran gelanggang "Jengkek Kapal Terbang". Nama "Kapal Terbang" itu diperolehi daripada gelanggang yang disusun sedemikian rupa dan merupakan imej sebuah kapal terbang.

Salah seorang pemain berjengkek dengan membawa "IBU" di atas tangan mengelilingi petak-petak tersebut.


Pemain berjengkek memasuki kesemua petak dan terpaksa melangkah terus dari petak 3 ke petak satu kerana petak nombor 2 sudah ada tuan rumah.

Permainan Jengkek Kapal Terbang dan juga dikenali sebagai Tinting Kapal Terbang.
 
     
 
   
 
| Batu Selambut | Laga Biji Getah | Jengkek Kapal Terbang | Tuju Para | Congkak | Sepak Bulu Ayam | Ketuk Pedang | Rebut Tiang | Tuju Pot (Tin) | Toi |
 
 
   
 
 
     
 
     
30 October 2014