CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 18-25 Akhir
Mengambil semangat padi

Padi juga mengikut kepercayaan orang-orang tua mempunyai semangat. Untuk menjaga padi dalam simpanan supaya tidak lari ke tempat lain, supaya tidak susut cepat bahkan supaya tidak mungkin habis dimakan, padi itu haruslah diambil semangatnya.

Dalam masa membetul-betulkan pokok-pokok padi sejak tiga hari sebelum mengerat atau sebelum mengambil semangat padi, hendaklah diperhatikan mana-mana bahagian dalam sawah itu yang paling baik padinya. Tempat-tempat padi yang berbuah elok itu kelihatan tangkai-tangkainya masuk ke dalam bersatu. Setelah tempat itu dijumpai, hendaklah batang-batang padi di situ seluas anggaran sepemeluk diikat perdunya dengan benang mentah. Bila tiba harinya, iaitu selepas tiga malam atau tiga hari pada waktu senja ketika udara tenang tiada berangin pergilah ke situ dengan diam-diam. Apabila sampai hendaklah berdiri memandang ke arah rumpun itu dan panggillah:

Hai, Merang Mesuk Nang Semulai,
Ni, Bapak (atau emak) mari nak bawa
balik.

Lepas itu renungkanlah keadaan padi itu. Kiranya kelihatan tidak bergerak-gerak tangkainya hendaklah dipanggil sekali lagi. Demikianlah seterusnya sehingga kelihatan bergerak-gerak dan melambai-lambai tangkai atau daun-daunnya (alamat ia mengaku rela diambil). Mentera atau ayat-ayat suci Al-Quran dibaca. Lepas itu tahanlah nafas lalu mula mengetam dengan renggam (alat mengetam padi) dari sebelah tangkai yang kelihatan mula bergoyang.

Satu di antara mentera-mentera yang digunakan orang dalam bahasa Siam, demikian bunyinya:

Put tang rat tanang tam mang sang kang rat tanang.

Tentulah ada banyak mentera dalam Bahasa Melayu sendiri kalau diselidiki. Malangnya susah mendapatkan orang mahu memberinya kerana mentera atau jampi itu lebih dirahsiakan. Itu merupakan ilmu, kata mereka.

Mengikut kepercayaan dan harus juga pengecaman mereka, dalam senafas itu kalau dapat dikerat sepuluh tangkai beralamat akan mendapat sepuluh kunca (1 kunca = 160 gantang) pada tahun itu.

Selesai mengetam senafas, hendaklah dengan segera sembunyikan tangkai-tangkai padi itu kedalam kain supaya tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Semasa hendak kembali ke rumah tidaklah boleh bercakap apa-apa. Sesampai di rumah terus masuk ke dalam jelapang lalu disimpan padi itu ke dalam bakul yang telah sedia terletak atau tergantung di mana sudut atau bahagian jelapang itu. Di dalam bakul itu telah siap sedia dengan bedak, celak, sintuk dan alat-alat persolekan yang lain serta segeluk air. Semasa menyimpan itu hendaklah berkata:

Ni di sini ada dengan bedak celak, sintuk dan lain-lain.
Duduklah baik-baik

Pada sesetengah orang semasa meletak atau menyimpan padi itu ke dalam bakul dibaca mentera-mentera yang tertentu, tidak hanya dengan berkata menggunakan perkataan biasa sahaja. Satu di antara mentera-mentera yang dapat dituliskan di sini dalam bahasa Siam juga ialah:

Ma a ok mani mama,
a ka cai mani mama

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
20 April 2024