CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah
- Adat Persawahan Di Negeri Kedah
Mula 15-25 Akhir
Memelihara pokok padi

Petua yang pertama sekali bagi mendapat kejayaan yang baik dalam pekerjaan bersawah padi ini ialah cermat, halusi dan tidak dilebih kurangkan dan hendaklah ada pada diri pesawah itu sendiri perasaan kasih kepada padi seperti kasih kepada anaknya sendiri. Hendaklah menjaga padi seperti menjaga anak sendiri. Hendaklah disifatkan padi seperti manusia juga, (demikianlah nasihat yang nanti akan terdapat daripada orang-orang tua ahli persawahan dalam masyarakat kita).

Selanjutnya mereka selalu berhati-hati menjaga takut kalau-kalau padi mereka berada dalam keadaan yang tidak baik. Mereka takut padi akan merajuk. Itulah nanti akan menyebabkan kegagalan mereka. Padi juga tahu sakit, tahu itu dan ini seperti manusia. Mereka yakin jika diturutkan mengamalkan petua-petua tersebut dan menjauhkan pantang larangnya , nescaya pekerjaan bersawah padi akan mendapat berkat, yakni akan mendapat hasil yang memuaskan dan tidak mudah habis makan. Buat dua tiga relung sahaja, dapat menyara kehidupan seluruh keluarga setahun, kadang-kadang lebih pula daripada itu. Demikianlah asas ilmu padi menjadi pegangan orang-orang yang mengerti. Bahkan dengan mengamalkan petua-petua dan pantang larangnya sahaja pun sudah memadai, tidak begitu perlu sangat kepada ilmu-ilmu yang lebih sulit lagi.

Apabila padi sudah ditanam, selesailah sudah pekerjaan yang berat buat sementara waktu. Dalam masa perantaraan menanam dan mengerat atau memotong itulah kaum petani berehat sekejap, untuk mengembalikan tenaga bagi menghadapi pekerjaan yang akan datang. Namun begitu, terutama orang-orang yang rajin, tidaklah hanya mereka berleka di rumah dengan membuang masa dengan percuma sahaja, melainkan selain daripada membuat bubu, sempilai (sempilai atau sempila) dan alat-alat menangkap ikan darat yang lain mereka selalu sahaja pergi ke sawah melihat padi. Kalau ada yang rebah atau yang terapung pokok padi yang masih kecil itu ditanamkan semula dan sekiranya ada pula rumput-rumput menjolok ke atas di celah-celah pokok padi itu dicabut dan dibuangkan.

Selain perkara yang tersebut itu ada satu lagi kerja yang penting mengikut kefahaman mereka. Kerja itu ialah kerja "memandikan padi".

Oleh sebab dasar pegangan orang-orang tua ialah padi itu sama seperti manusia juga, mereka percaya sebagaimana manusia gemuknya kerana sebahagiannya tergantung kepada mandinya, padi pun pada pendapat mereka serupa. Padi hendaklah dimandikan selalu supaya ia subur.

Pagi-pagi dan petang-petang hari bersambilan dengan memasang bubu, sempilai dan lain-lain, petani turun ke dalam petak sawah mengkuak-kuakkan air ke pokok padi mereka dengan membaca mentera yang berirama dalam lagu-lagu yang mengkhayalkan. Perbuatan demikian juga seolah-olah memberi ketenteraman kepada kesayangan mereka yang sedang lena. Setengah-setengah orang memandikan padi dengan mengambil syarat sahaja, iaitu dibasuh tangan, kaki dan betisnya dengan air petak itu. Membasuh kaki bertujuan sepeti membasuh tangan seperti bererti membasuh daun. Orang-orang yang tiada mentera digunakan ayat-ayat suci Al-Quran dalam memandikan padi itu. Pada masa memandikan itu hendaklah di ibaratkan seperti bapa atau ibu memandikan anaknya.

Dalam pengulangan melihat-lihat padi hendaklah ditegakkan pokok yang tumbang atau condong ke petak orang lain. Menegakkan padi yang rebah ke arah tanah orang lain itu dipandang mustahak. Kononnya mengikut kepercayaan mereka, apabila padi berkenaan demikian, dibiarkan dan tidak ditegakkan nanti kekuranganlah padi kalau orang yang di sebelah kita itu orang yang ada ilmu padi.

Sekiranya ada padi orang lain yang condong ke petak kita, maka bolehlah dipanggil padi itu datang ke sawah kita. Sebab itulah padi rebah itu mesti ditegakkan kembali.

Terdapat satu cara hendak memanggil padi itu. Mula-mula sebutlah dulu namanya, iaitu "Merung Mesuk Nang Semulai". Kemudian pujuklah padi itu dengan perkataan-perkataan yang menarik yang akan memberi harapan baik kepadanya kalau ia datang ke sawah kita. Hendaklah diberi jaminan bahawa jika ia datang ke sawah kita ia akan menerima layanan yang lebih baik lagi, tidak seperti keadaannya sekarang, tidak dijaga dengan sepertinya. Contoh pujukan itu:

Hai Merung Mesuk Nang Semulai. Lebih baiklah engkau jangan duduk dengan si anu itu. Dia nak pukul dan beri engkau, nak jual engkau dengan baik. Lebih baiklah engkau mari duduk dengan aku. Aku telah siap dengan tempat yang elok untuk engkau.

 
   
 
| Adat Persawahan | Piama (musim) bendang | Masa turun ke bendang | Kayu tenggala | Turun ke bendang | Piama menabur | Bintang Ketika (Bintang Thuraiya) | Padi Benih | Memilih padi benih | Menabur | Persiapan menabur | Upacara menabur | Mencabut semai dan menanam | Menanam | Memelihara pokok padi | Umur padi | Mengerat | Mengambil semangat padi | Semangat padi | Memukul, mengurai dan menyimpan | Perbezaan mengerjakan sawah antara dahulu dan sekarang | Menggiau dan mengirik | Berpantun | Permainan-permainan lain | Melanggar dan Pupuh |
 
 
   
 
 
     
 
     
18 April 2024