CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Pengangkutan
- Sejarah Pengangkutan
Mula 2-5 Akhir
Sejarah Pengangkutan Kereta Api

Kemunculan kereta api pada awal tahun 1800an menandakan satu revolusi dalam bidang pengangkutan. Buat pertama kali dengan adanya "jalan besi" orang ramai dapat membuat perjalanan jauh dalam keadaan yang agak selesa, selamat dan cepat. Pengangkutan kereta api ada banyak kelebihannya. Geseran antara roda dan landasan keluli amat kurang. Oleh itu, kereta api dapat mengangkut beban yang besar lagi berat, serta bilangan penumpang atau barang angkut yang banyak tanpa menggunakan banyak bahan api.

Pengangkutan kereta api yang terawal di Tanah Melayu ialah di Perak iaitu di antara Taiping dan Kuala Sepetang. Pembukaan landasan ini adalah pada 1 Jun 1885. Stesen Kereta Api Taiping ini terletak di padang Sekolah King Edward VII. Kuala Sepetang dinamakan Port Weld oleh Inggeris. Stesen ini merupakan stesen pelabuhan yang pertama.

Di negeri Kedah, usaha untuk membina landasan kereta api yang pertama berlaku agak lewat jika dibandingkan dengan perkembangan yang dicapai oleh negeri-negeri lain di Tanah Melayu seperti Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang. Usaha serta perbincangan untuk membina landasan kereta api yang pertama di negeri Kedah bermula pada penghujung bulan November, 1893 di "British Foreign Office" di London.

Menjelang akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, didapati bahawa terdapat perkembangan yang agak menggalakkan di dalam aktiviti pertanian dan perlombongan bijih timah di Kedah. Di samping itu, terdapat juga perkembangan perdagangan yang agak menggalakkan di antara negeri Kedah dengan Pulau Pinang yang sudahpun menjadi Koloni Inggeris.

Perbincangan serta usaha untuk membina landasan kereta api yang pertama di negeri Kedah bermula pada penghujung bulan November, 1893 di British Foreign Office di London. Mr R.W.Perks, M.P. telah mengadakan pertemuan dengan Sir Edward Gray, Setiausaha Sulit Hal Ehwal Kerjaan Inggeris berhubung dengan perkara di atas. Mr R.W.Perks mewakili "Malay Konsesi" yang diluluskan oleh kerajaan Siam pada bulan Mac 1891 kepada Mr. Charles Dunlop untuk membina jalan kereta api sejauh 80 batu dari Singgora di bahagian pantai timur ke Kota Setar. Di samping itu, Dunlop juga meminta kebenaran kepada pejabat Hal Ehwal Luar Kerajaan Inggeris untuk menyambung landasan kereta api Pulau Pinang. Seterusnya Dunlop juga bercadang untuk meminta kebenaran membina satu lagi landasan cabang dari Kulim ke Selama (sempadan Kedah-Perak).

Namun begitu negeri Kedah telah mengalami satu proses yang agak unik dan berbeza dengan latarbelakang negeri lain. Sebelum negeri Kedah masuk di bawah naungan Kerajaan Inggeris, beberapa kontroversi pertelingkahan telah timbul bersabit dengan cadangan untuk membina jalan kereta api di negeri Kedah di antara Kerajaan Siam dengan pihak Inggeris di Tanah Melayu, hingga membawa kepada kegagalan cadangan untuk membina jalan kereta api dari Bukit Mertajam ke Kulim. Justeru dengan termetrinya perjanjian Inggeris-Siam tahun 1909, apabila kerajaan Siam menyerahkan negeri Kedah kepada pihak Inggeris, barulah kerajaan Inggeris di Tanah Melayu benar-benar mengambil inisiatif untuk membina landasan kereta api di Kedah.

Kerja-kerja pembinaan jalan kereta api dari Bukit Mertajam ke Alor Setar telah bermula pada penghujung tahun 1912, dan dibuka dengan rasminya untuk kegunaan pengangkutan dan penumpang pada tahun 1915. Pembukaan jalan kereta api dari Bukit Mertajam ke Alor Setar telah mencetuskan satu perkembangan baru dalam era sistem pengangkutan dan perhubungan di negeri Kedah.

Penghargaan
 
   
 
| Pengangkutan Darat | Sejarah Pengangkutan Kereta Api | Sejarah dan Perkembangan Penerbangan Malaysia | Sejarah Awal Penubuhan lapangan Terbang Di kedah | Sejarah Pengangkutan Air |
 
 
   
 
 
     
 
     
19 April 2024