CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Ulama dan institusi pondok di Kedah
- Sistem Pendidikan Pondok
Mula 2-12 Akhir
Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir

Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani. Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Bermin, Patani. Pada tahun 1912, beliau melanjutkan pelajaran di Mekah. Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mertuanya, Haji Ismail Che Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.

Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendiling, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut.

Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau mengubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu. Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam Bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Sahibul Fadzilah Haji Wan Ibrahim Bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 75 tahun. Jenazahnya diabadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail Che Dol.

Bibliografi
Penghargaan
 
   
 
| Sistem Pendidikan Pondok | Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir | Dato' Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdullah | Sheikh Ismail Bin Haji Muhammad Salleh | Muhammad Salleh Bin Haji Hashim | Tuan Hussain Mohd Nasir Al-Mas'udi Al-Banjari (Tuan Hussin Kedah) | Haji Hussain Che Dol | Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidek | Haji Yaakob Bin Haji Ahmad | Haji Abdullah Abbas Nasution | Tuan Haji Abdul Ghani Bin Haji Awang | Tuan Haji Muhammad Said Bin Muhammad Taib (Haji Muhammad Said Yan) |
 
 
   
 
 
     
 
     
18 April 2024