CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Peristiwa Bersejarah di Negeri Kedah (1904-1990)
- Rundingan Baling (1955)
Mula 2-4 Akhir
Proses Rundingan

Akhirnya pertemuan bersejarah itu diadakan di Sekolah Kebangsaan Baling. Rundingan itu berlangsung dalam empat sesi selama dua hari. Hari pertama iaitu pada 28 Disember 1955, sesi pertama dari 2.30 petang hingga 3.30 petang, sesi kedua dari 3.40 petang hingga 5.45 petang dan sesi ketiga dari 6.30 petang hingga 8.05 malam. Pada hari kedua rundingan berlangsung dalam sesi ke empat dari 10.50 pagi hingga 12.48 tengahari.

Rundingan tersebut melibatkan pihak Kerajaan yang terdiri daripada YTM Tunku Abdul Rahman, Dato Sir Tan Cheng Lock, Encik David Marshall, Encik Hamid Jumat, Encik Yaacob Latif D.I.O, Encik Too Joo Hin, Encik T.H Tan dan Syed Jaafar Albar sementara pihak komunis pula terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Pekan Baling dipilih sebagai tempat untuk mengadakan rundingan kerana ia adalah kawasan pilihanraya Tunku Abdul Rahman pada ketika itu. Sementara itu tanggungjawab membawa keluar Chin Peng dan rombongannya serta memastikan keselamatan mereka telah diserahkan kepada Pegawai Daerah Butterworth iaitu John Davis. John Davis berusia 49 tahun pada ketika itu. Beliau telah bersahabat baik dengan Chin Peng semasa berada di dalam hutan selama dua tahun sebagai anggota Force 136.

Sebelum berlangsungnya rundingan tersebut, Pekan Baling yang kecil itu telah penuh sesak dengan manusia yang berkumpul di jalanraya bagi menanti rombongan Tunku. Di tengah padang bola khemah-khemah tentera telah siap didirikan. Askar-askar dan ahli-ahli pasukan keselamatan sibuk menguruskan kerja masing-masing. Pada ketika itu kawalan ketat dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Individu yang memasuki kawasan berkenaan akan disoal-siasat. Di sekeliling rumah Pegawai Daerah Baling, khemah-khemah tentera dan polis kelihatan. Pihak askar British sendiri yang mengawal pintu masuk ke dalam kawasan rumah Pegawai Daerah tersebut.

Dalam perjumpaan itu, Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin duduk berhadapan Tunku Abdul Rahman, David Marshall, Tan Cheng Lock dan Too Joo Hin. Tunku menyatakan kepada Chin Peng bahawa Tanah Melayu akan menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Oleh yang demikian tidak ada gunanya berperang dan meneruskan permusuhan yang berlarutan selama 7 tahun yang mengakibatkan banyak orang yang terkorban dan kemusnahan harta benda. Namun begitu, Chin Peng tidak menerima cadangan tersebut dan menolak pengampunan beramai-ramai untuk mereka yang ingin menyerah diri. Ianya jelas menunjukkan bahawa Chin Peng hendak meneruskan perjuangan untuk menguasai Tanah Melayu dengan fahaman komunis.

 
   
 
| Pengenalan | Proses Rundingan | Kesimpulan | Galeri Gambar |
 
 
   
 
 
     
 
     
29 March 2024