CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Rumah dan Peralatan Pertukangan Tradisional Melayu Kedah
- Pengenalan Seni Hiasan Rumah-Rumah Tradisional
Mula 1-24 Akhir
Pengenalan

Di Tanah Melayu, kegiatan seni ukir memang terkenal di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan. Ini kerana negeri-negeri tersebut pernah mempunyai hubungan rapat dengan negeri Patani yang merupakan pusat kegiatan seni ukir yang terkenal suatu masa dahulu. Hubungan di antara negeri ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi perkembangan dan corak seni ukir.

Di dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata tetapi mempunyai fungsi yang lain yang disepadukan pada rumah-rumah tersebut. Hiasan seperti ukiran tebuk digunakan di tempat-tempat pengaliran udara sebagai unsur permukaan yang memisahkan antara ruang dalam dengan ruang luar. Di samping itu, ukiran tersebut dapat melahirkan pola-pola yang menarik kalau dilihat dari luar dan dalam rumah.

Ukiran pola-pola tersebut juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pola biasa, pola tebuk dan terukir. Motif yang digunakan pada pola-pola tersebut mempunyai beberapa pengertian yang tertentu dan ada kaitan dengan aspek spiritual. Di Tanah Melayu, motif-motif ukiran lebih cenderung kepada penghayatan seni yang berteraskan prinsip keislaman dan ada juga yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan, geometri dan kaligrafi.

Namun begitu, dalam keadaan yang terbatas, pelbagai pola yang menarik telah dihasilkan . Ada di antara penggunaan pola-pola ini masih lagi terdapat pada rumah tradisional hingga kini. Hasil ukiran ini jelas menunjukkan kehalusan seni dan kemahiran pengukir kayu yang masih dikekalkan hingga kini.

Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, rumah tradisional telah pun hampir pupus dan tidak lagi banyak didirikan. Rumah yang tinggal sudah pun uzur dari segi pemeliharaannya. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan tukang kayu yang mahir seperti zaman dahulu.

Perkembangan dan pengaruh seni bina moden banyak mempengaruhi rupa bentuk rumah-rumah di Malaysia. Rumah-rumah moden yang dibuat daripada batu bata dan konkrit telah banyak didirikan berbanding dengan rumah kayu. Keadaan ini juga menjadi lebih buruk lagi apabila kayu dijadikan sebagai bahan komoditi mentah untuk tujuan eksport.

Kesimpulannya, seni ukir Melayu yang tinggi nilai budayanya ini perlu dipelihara dan dikembangkan untuk generasi muda supaya boleh memahami dan menilainya dengan lebih baik. Lebih beerti lagi sekiranya masyarakat dapat menilai kembali keunggulan seni ukir tersebut dan diterapkan dalam arus pembangunan masyarakat moden.

 
   
 
| Pengenalan | Pola Papan Layang | Pola Papan Layang | Tebar Layar | Pola Papan Layang | Pola Papan | Ukiran | Pola Papan Layang | Tebar Layar | Alang | Ukiran | Pola Papan Jerejak | Tingkap | Pintu | Dinding | Tiang Seri | Kaki Tiang | Kaki Tiang | Rasok | Tangga | Sistem Tanggam Cara Tebuk | Sistem Tanggam | Tangga | Tangga |
 
 
   
 
 
     
 
     
23 April 2024