CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Perubatan Tradisional : Bekam
- Berbekam atau Menghisap Darah
Mula 1-2 Akhir

Berbekam atau menghisap darah merupakan satu aktiviti yang biasanya dibuat setiap tahun sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Ia adalah persediaan bagi orang-orang yang akan menjalani ibadah puasa. Adalah dipercayai bahawa sesuatu penyakit itu dapat dihilangkan dengan cara berbekam atau mengeluarkan darah-darah dari kepala atau dari mana-mana bahagian tubuh seseorang. Selain daripada bahagian belakang kepala, bahagian-bahagian yang biasanya dituris untuk tujuan bekam ialah, bahu, lutut, pinggang dan di perut betis atau "anak anjing". Tempat-tempat ini dipercayai sebagai tempat terkumpulnya darah penyakit atau darah kotor.

Berbekam biasanya dibuat pada awal pagi iaitu sebelum orang yang akan dibekam itu mandi dan bersarapan. Ini adalah bagi menjamin pengaliran darah penyakit keluar lebih banyak dari masa-masa lain.

Sebelum berbekam, sebaiknya senaman dilakukan agar perjalanan darah di dalam badan menjadi licin dan mengalir keluar dengan mudah apabila dihisap oleh tukang bekam. Tukang bekam akan membawa bersamanya alat-alat yang akan digunakan dalam kerja-kerja membekam seperti pisau cukur, tanduk lembu, lilin, besi pencucuk lilin, sabut kelapa atau kain buruk dan beberapa biji tempurung.

Kebiasaannya setiap orang akan berbekam akan membawa sebutir tempurung jantan yang tidak berlubang. Darah yang akan keluar apabila dibekam akan dimasukkan ke dalam tempurung tersebut dan ditanam ke dalam tanah. Darah dari proses bekam itu akan ditanam di tempat-tempat sejuk di bawah pokok nipah atau pokok pisang. Adalah dipercayai bahawa orang yang berbekam itu akan berasa sejuk sepanjang hari.

Sebelum berbekam, seseorang itu perlu berada pada keadaan tenang dan berniat bahawa berbekam itu adalah satu ibadat sunat. Adalah difahamkan bahawa amalan berbekam ini pernah menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan dilakukan oleh orang-orang Islam sebagai cara untuk mengeluarkan penyakit. Hampir lapan ratus tahun dahulu apabila orang-orang Melayu menerima ajaran Islam, mereka juga turut menerima amalan berbekam daripada orang-orang Arab tetapi menggunakan cara atau kaedah orang Melayu sendiri.

Kebiasaannya rambut di bahagian belakang kepala akan dibekam di cukur seulas mulut tanduk iaitu lebih kurang dua inci persegi. Mulut atau pangkal tanduk lembu akan diletakkan di tempat yang akan dibekam. Tukang bekam akan menghisap darah dari lubang kecil di hujung tanduk hingga wujud hampagas di dalam tanduk dan tanduk itu akan melekat di kepala. Lubang kecil di hujung tanduk itu akan ditutup dengan lilin.

Selepas beberapa minit, tanduk itu akan ditanggalkan dengan mencucukkan lilin yang melitupi lubang di hujung tanduk itu dengan sebatang besi sebesar paku kecil. Bahagian kepala yang sudah dibekam akan membengkak dan meninggalkan kesan sebesar keluasan mulut tanduk tersebut. Kulit kepala akan dituris dengan pisau penyukur sekurang-kurangnya sebelas turisan. Setiap turisan itu sepanjang satu milimeter dan hanya melukakan kulit sahaja. Kulit kepala yang ditoreh itu tidak akan berasa sakit kerana kulit kepala menjadi tegang akibat daripada hisapan tukang bekam.

Tanduk akan dilekapkan semula di atas turisan. Hisapan akan dibuat sekali lagi oleh tukang bekam untuk mewujudkan hampagas di dalam tanduk. Hampagas atau vakum yang tercipta di dalam ruang tanduk akan menyebabkan darah mengalir keluar dan terkumpul di dalam tanduk.

Orang yang berbekam perlu berada dalam keadaan menunduk kepalanya ke bawah supaya tanduk yang kian dipenuhi oleh darah dapat diimbangi dengan sempurna.

Setelah tanduk dipenuhi dengan darah berhenti mengalir, tukang bekam akan menanggalkan tanduk dan membuangkan darah itu ke dalam tempurung. Bahagian yang berdarah akan dibersihkan dengan sabut kelapa dan tanduk yang telah dibersihkan dilekapkan semula di kepala orang yang berbekam.

Proses menciptakan hampagas atau vakum itu dilakukan sebanyak tiga kali dengan menghasilkan tiga tanduk darah. Kerja berbekam dikira selesai untuk tahun itu bagi orang yang berbekam walaupun masih terdapat lagi darah yang dianggap berpenyakit boleh disedut keluar.

Darah di dalam tempurung itu akan dikaji oleh golongan tua. Darah yang berbuih menunjukkan terdapat angin dalam saluran darah seseorang. Keadaan ini akan menyekat pengaliran darah di dalam badan dan menyebabkan sakit kepala serta lenguh. Darah yang beku dan hitam serta badan yang panas menunjukkan pesakit memerlukan ketenangan dan tidak perlu memakan ubat-ubatan yang panas lagi. Darah yang mengandungi air pula selalunya akan menyebabkan sakit di sendi dan tulang-tulang. Apabila darah ini dikeluarkan, seseorang itu berada dalam keadaan yang agak baik dan dapat berpuasa dengan selesa.

Setelah selesai berbekam, tukang bekam akan memicit tengkok dan bahu orang yang berbekam agar kembali segar dan pulih semangatnya. Beliau seterusnya boleh bersarapan dan mandi.

Orang yang berbekam juga dinasihatkan agar tidak tidur pada sebelah siangnya kerana ditakuti bahagian yang dituris tadi akan tertekap pada bantai dan ini akan menyebabkan pengaliran darah tadi dimasuki angin kotor dan perlu dibekam semula.

Orang yang telah berbekam boleh menjalani ibadah puasa dengan lebih yakin kerana dipercayai tidak menghadapi masalah pening kepala apabila dikejutkan untuk bersahur. Kesihatan juga tidak terganggu walaupun dalam keadaan tidak cukup tidur setiap malam di sepanjang bulan puasa.

Masyarakat di Timur Tengah mencipta hampagas dengan membakar secebis kertas di dalam gelas kecil yang dilekapkan di kelapa atau ditempat yang hendak di bekam. Gelas ini menggantikan tanduk. Masyarakat di pendalaman Pulau Jawa menggunakan lintah untuk menyedut darah berpenyakit keluar. Biasanya tiga ekor lintah digunakan untuk menyedut darah keluar dari kepala seseorang. Adakalanya sebanyak tujuh ekor lintah diperlukan untuk seseorang yang sering menghadapi masalah sakit kepala yang keterlaluan.

 
   
 
| Berbekam atau Menghisap Darah | Cara-Cara Berbekam |
 
 
   
 
 
     
 
     
16 April 2024