CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Sejarah Pembinaan Jalan Kereta Api di Kedah
- Proses Pembinaan
Mula 1-1 Akhir

Sebenarnya usaha untuk membina landasan kereta api yang pertama di Negeri Kedah telah bermula pada penghujung bulan November 1893 di British Foreign Office di London. Mr. R.W. Perks yang mewakili "Malay Railway and Works Construction Company" telah mengadakan pertemuan dengan Sir Edward Gray, Setiausaha Sulit Hal Ehwal Luar Kerajaan Inggeris. Hasilnya, Mr. Charles Dunlop telah diarah untuk mengambil konsesi yang diluluskan oleh Kerajaan Siam pada Mac 1891 untuk membina jalan kereta api sejauh 80 batu dari Singgora di bahagian Timur ke Kota Setar dan seterusnya dari Alor Setar ke Bukit Mertajam. Untuk tujuan itu, Mr. Charles telah menghubungi Pejabat di Kementerian Hal Ehwal Luar bagi mendapatkan bantuan kewangan. Namun, pada penghujung bulan Disember tahun 1893, Kerajaan Inggeris telah menetapkan keputusan bahawa bantuan kewangan yang dipohon tidak dapat dipenuhi.

Alasan yang diberikan ialah ahli Straits Legislative Pulau Pinang bercadang untuk membina sebuah pengkalan dan memerlukan wang untuk projek berkenaan. Cadangan untuk membina jalan kereta api dari Bukit Mertajam ke Kulim muncul lagi pada 15 Julai 1904 apabila Putera Devawongse, Menteri Luar Kerajaan Siam menyatakan bahawa Siam akan membantu membina jalan kereta api dari Bukit Mertajam ke Kulim tetapi dengan kadar perbelanjaan yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Namun rancangan tersebut gagal lagi disebabkan pihak Siam berhasrat untuk memajakkan projek pembinaan tersebut kepada pihak kereta api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Keadaan ini berlaku setelah pihak Siam mengetahui bahawa kereta api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dan dikendalikan sendiri oleh kerajaan Inggeris sendiri. Akhirnya pada 3 November 1904, sebarang usaha untuk membincangkan perkara yang bersabit dengan cadangan pembinaan landasan keretapi Bukit Mertajam - Kulim ditangguhkan. Oleh itu, timbul persoalan sehingga ke hari ini iaitu mengapa landasan kereta api dari Bukit Mertajam ke Kulim tidak dibina walaupun selepas perjanjian Inggeris - Siam 1909 sedangkan kawasan Selatan Kedah termasuk Kulim merupakan kawasan yang strategik dan kaya dari segi ekonomi.

Justeru, selepas perjanjian Inggeris - Siam pada tahun 1909 ditandatangani dan Kedah diserahkan oleh Kerajaan Siam kepada pihak Inggeris barulah Kerajaan Inggeris benar-benar berusaha untuk membina jalan kereta api di Kedah.

Persediaan serta penyelidikan pertama telah dilakukan dalam usaha untuk membina landasan kereta api dari Bukit Mertajam ke Alor Setar pada penghujung 1911 dan di awal tahun 1912. Jumlah peruntukkan keseluruhan yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran kereta api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) bagi membina jalan kereta api dari Bukit Mertajam hingga ke Alor Setar adalah seperti Rajah A-Perkara & Perbelanjaan.

Kerja-kerja pembinaan jalan kereta api tersebut telah bermula pada penghujung tahun 1912. Pada tahun 1914, pihak pentadbir kereta api NNMB telah menyambung landasan kereta api di Alor Setar ke Negeri Perlis dan Padang Besar.

Landasan kereta api Bukit Mertajam - Alor Setar dibuka secara rasmi pada tahun 1915. Sementara landasan kereta api dari Alor Setar - Bukit Ketri di Negeri Perlis telah dibuka untuk kegunaan pengangkutan dan penumpang pada tahun 15 Oktober 1917 dan landasan dari Bukit Ketri ke Padang Besar telah dibuka pada 1 Mac 1918. Kemudian landasan kereta api dari Padang Besar telah disambungkan dengan Negara Thailand dan dibuka pada 1 Julai 1918.

Terdapat sebanyak 27 buah stesen kereta api dan perhentian kecil atau "Halts" disepanjang jalan kereta api dari Bukit Mertajam sehingga ke Padang Besar. Jarak dan status operasi bagi setiap stesen tersebut bermula daripada stesen Bukit Mertajam adalah seperti Rajah B - Jarak & Status Operasi.

Bibliografi
Penghargaan
 
Rajah A - Perkara & Perbelanjaan
   
Rajah B - Jarak & Status Operasi
   
 
     
 
 
   
 
 
     
 
     
19 April 2024