CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Merdeka! Merdeka! Mederka!
- Perjanjian London Tahun 1956
Mula 1-1 Akhir
Perjanjian London

Dengan keputusan pilihanraya umum tahun 1955, penjajah British terpaksa menerima hakikat bahawa Parti Perikatan disokong oleh hampir seluruh rakyat Tanah Melayu. Sistem Ahli bertukar menjadi sistem Menteri. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri, walaupun Pesuruhjaya British masih mempengerusikan Majlis Eksekutif Persekutuan dan beberapa kerusi lain diduduki oleh pegawai British. Walau bagaimanapun kebanyakan tempat di dalam Majlis itu dikuasai oleh wakil Parti Perikatan.

Semasa kempen pilihanraya, Parti Perikatan menjanjikan kemerdekaan akan dicapai dalam tempoh empat tahun, sekiranya mereka memperoleh kemenangan. Untuk menunaikan janji itu, rundingan dengan kerajaan British di London perlu diadakan secepat mungkin. Sebelum rundingan dengan kerajaan British diadakan, Parti Perikatan mestilah berpakat dengan Raja-Raja Melayu terlebih dahulu supaya bersatu dengan rakyat dalam rundingan itu. Raja-Raja Melayu terus terlibat dalam perundingan untuk mencapai kemerdekaan kerana sebelum itu mereka bertanggungjawab menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dengan pihak British.

Rundingan di antara Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil Majlis Raja-Raja mencapai kejayaan kerana Parti Perikatan memberi jaminan bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu tidak akan terjejas selepas merdeka. Pada bulan Januari 1956, rombongan Parti Perikatan yang kedua berlepas ke London untuk berbincang dengan kerajaan British mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Rombongan pada kali ini mewakili parti yang memerintah di Persekutuan Tanah Melayu dan harapan mereka untuk mencapai kejayaan adalah cerah.

Rundingan mengenai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang berlangsung selama tiga minggu di London merupakan satu lagi kejayaan cemerlang bagi Parti Perikatan. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian London telah dimeteraikan oleh pihak Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan kerajaan British. Menurut perjanjian itu, Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada akhir bulan Ogos 1957.

Rundingan yang diadakan di London telah mengambil masa yang panjang kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan. British sedar bahawa mereka tidak dapat menghalang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, tetapi dalam masa yang sama, mereka cuba mempertahankan kepentingan mereka di Tanah Melayu. Parti Perikatan juga berjanji tidak akan cuba memiliki atau mengambil alih harta benda ataupun perniagaan British di Tanah Melayu. British masih bebas menjalankan kegiatan ekonomi mereka. Parti Perikatan memang mengamalkan sistem ekonomi bebas.

Selain itu, pangkalan tentera British masih dikekalkan di Tanah Melayu. Dengan itu British akan melindungi negara kita dari ancaman luar, di samping mengawal kepentingan mereka di rantau ini.

Apabila rombongan Parti Perikatan pulang ke tanahair, mereka diberi sambutan meriah. Di Padang Bandar Hilir, Melaka, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan di hadapan rapat umum yang besar.

 
 
   
 
 
     
 
     
19 April 2024