Peristiwa Sedim merupakan peristiwa penculikan oleh Tunku Abdul Rahman terhadap ayahanda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) iaitu semasa Jepun menyerang Kedah pada Disember 1941. Peristiwa tersebut terjadi pada hari Isnin 8hb Disember apabila Jepun menjatuhkan bom di Sungai Petani. Tunku Abdul Rahman pada ketika itu adalah Pegawai Daerah di Kulim. Pada malam sebelum "penculikan" itu berlaku, Tunku sedang bertugas di Ibu Pejabat A.R.P. dan menerima mesej daripada Dato Sri Syed Omar Shahabudin bahawa British hendak memindahkan Sultan pada waktu subuh.
Pada malam yang sama, Tunku memutuskan bahawa ayahandanya wajar berada bersama-sama rakyat jelata pada waktu itu. Oleh yang demikian, Tunku bertindak nekad untuk menghalang pihak berkuasa untuk membawa ayahandanya ke Pulau Pinang. Tunku melengkapkan diri dengan senjata dan bersama-sama dengan rakannya Syed Abu Bakar Al-Idrus, menunggu baginda di Simpang Kepala Batas. Kereta pertama dengan iringan polis bertolak dan dua minit kemudian muncul kereta Rolls Royce yang membawa baginda Sultan, Tunku Abdul Rahman menahannya dan melompat masuk lantas memaksa pemandunya menghala ke arah Kulim. Hanya apabila tiba di Pulau Pinang barulah mereka yang turut serta sedar tentang kehilangan baginda Sultan. Selepas membuat siasatan, mereka mendapati bahawa Sultan berada bersama-sama Tunku di Kulim.
Tunku berjaya melaksanakan misinya memandangkan pergerakan kenderaan yang perlahan dengan jarak masa selang dua minit bagi mengelakkan debu pada jalan. Tempoh dua minit cukup buat Tunku untuk melencongkan kenderaan berkenaan.
Tunku membawa ayahandanya ke tempat kediamannya di Kulim dan apabila pihak Jepun kian hampir, Tunku meminta baginda Sultan dan Pemangku Raja untuk ke tempat perlindungan yang disediakan khas di Estet Bukit Sedim iaitu di luar garis kemaraan Jepun. Seterusnya rombongan baginda dibawa ke Kampung Sedim. Pada ketika itu, penduduk kampung telah berpakat untuk membuat usungan daripada dua batang buluh dan apabila rombongan Sultan tiba, baginda diusung ke rumah Penghulu Sedim iaitu Haji Yassin. Di Kampung Sedim, Sultan Badlishah tinggal di rumah anak Penghulu Haji Yassin. Seramai 5 hingga 60 orang disuruh berkawal siang dan malam untuk menjaga keselamatan baginda Sultan. Mereka kekal berada di situ selama 6 hari sehinggalah Jepun menghantar rombongan untuk mengiringi mereka kembali ke Alor Setar. Apabila mereka sampai di Alor Setar, baginda Sultan tanpa meluahkan sebarang bantahan, tidak dibenarkan bersemayam di Istana Kampung Baharu kerana tentera Jepun mahu merampasnya. Oleh itu, Pemangku Raja membawa baginda Sultan tinggal di Istana Anak Bukit dan disitulah baginda mangkat pada tahun 1943, setelah memerintah selama 62 tahun. |