CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Ulama dan institusi pondok di Kedah
- Sistem Pendidikan Pondok
Mula 1-12 Akhir

Sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu bermula sejak awal kurun ke 19 atau akhir kurun ke 18 dengan pengaruh yang dibawa dari Patani, Sumatera, Jawa dan Acheh. Kaedah pengajarannya adalah mengikut kaedah yang dijalankan di Masjidil Haram di Mekah. Pengajian pondok lebih jelas kelihatan jika ditinjau di negeri-negeri yang kuat ciri-ciri keagamaannya seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan. Kebanyakan daripada para ulama ini mendapat pendidikan tertinggi mereka di Mekah. Sistem pendidikan pondok sebenarnya mementingkan keagamaan dalam mengerjakan ibadat dan pembentukan akhlak yang sempurna. Dalam sejarah pendidikan pondok yang terawal, pelajar-pelajarnya adalah terdiri daripada lelaki muda, dewasa dan separuh umur.

Untuk melicinkan pentadbiran pendidikan pondok, beberapa undang-undang atau disiplin diadakan. Tujuannya adalah untuk menjamin kejayaan pondok supaya diterima oleh masyarakat kampung. Nama baik sesebuah pondok mestilah dipelihara sesuai dengan tugas dan tanggungjawabnya untuk mewujudkan insan yang benar-benar berilmu dan beriman kepada Alllah.

Beberapa peraturan yang telah ditetapkan ialah :

  1. Pelajar dikehendaki hadir pada setiap waktu pembelajaran
  2. Pelajar mesti memakai baju kurung Melayu berwarna putih dan berkain sarung, di samping memakai songkok putih atau serban. Rambut masing-masing diarahkan supaya dicukur.
  3. Pelajar dimestikan menghadirkan diri pada setiap kali sembahyang berjemaah.
  4. Pelajar yang hendak keluar dari kawasan pondok akan disoal jawab terlebih dahulu. Sekiranya tidak ada perkara yang mustahak, mereka tidak dibenarkan keluar. Keluar masuk ke dalam kawasan pondok sentiasa dikawal.
  5. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membuat bising dan bertengkar di kawasan pondok.
  6. Adalah menjadi satu kemestian dan tidak boleh sekali-kali diuzurkan diri sekiranya mereka dijemput untuk menyembahyangkan jenazah.
  7. Pergaulan di dalam kawasan pondok dan masyarakat mestilah dijaga dan dipelihara dengan baik, saling hormat menghormati dan bekerjasama.
  8. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membuat sesuatu yang bercanggah atau melanggar undang-undang syarak.
  9. Segala peraturan dan percakapan guru mestilah dipatuhi oleh setiap orang pelajar.
  10. Satu amalan baik yang digalakkan ialah menepati masa.

Kebiasaannya guru-guru akan menyampaikan pengajarannya dengan cara bersyarah mengenai sesebuah kitab yang telah ditetapkan, manakala murid-muridnya akan duduk bersila mengelilingi tuan guru semasa pengajaran disampaikan. Pada tahun pertama atau pada peringkat permulaan, murid-murid diperkenalkan dengan sistem pengajaran yang bercorak hafalan atau menghafal. Di peringkat permulaan ini pengajaran tentang Nahu dan Saraf Arab adalah penting. Pengetahuan tentang bahasa Arab adalah perlu sekali kerana di pondok penggunaan kitabnya dan pengajaran yang dijalankan adalah berlandaskan bahasa Arab.

Di peringkat awal pembelajaran, yang dipentingkan ialah pelajaran Fekah, Tauhid, Hadis dan Al-Quran di samping pelajaran Nahu and Saraf Arab. Dari semasa ke semasa pelajaran di pondok ikut bertambah seperti pelajaran Tafsir, Balaghah, Tarikh Islam, Tasauf, Akhlak dan lain-lain lagi. Dalam mempelajari beberapa matapelajaran yang telah ditetapkan, pendidikan di pondok-pondok baik di negeri Kedah mahupun di negeri-negeri lain di Tanah Melayu menggunakan kitab-kitab yang hampir sama baik dari segi nama kitab tersebut dan pengarangnya. Pondok mempunyai sistem jadual waktu dan jadual cuti penggal tersendiri. Cuti penggalnya mengambil kira hal-hal seperti bulan puasa dan musim menuai padi. Ini bagi membolehkan penuntut-penuntut membuat ibadah puasa dan mencari nafkah bekerja di musim tuai, sambil memungut fitrah bagi pihak guru pondok.

Bibliografi
Penghargaan
 
   
 
| Sistem Pendidikan Pondok | Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir | Dato' Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdullah | Sheikh Ismail Bin Haji Muhammad Salleh | Muhammad Salleh Bin Haji Hashim | Tuan Hussain Mohd Nasir Al-Mas'udi Al-Banjari (Tuan Hussin Kedah) | Haji Hussain Che Dol | Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidek | Haji Yaakob Bin Haji Ahmad | Haji Abdullah Abbas Nasution | Tuan Haji Abdul Ghani Bin Haji Awang | Tuan Haji Muhammad Said Bin Muhammad Taib (Haji Muhammad Said Yan) |
 
 
   
 
 
     
 
     
26 October 2014