CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Ulama dan institusi pondok di Kedah
- Institusi Pondok
Mula 1-2 Akhir

Pertumbuhan institusi pondok berhubungkait dengan kemunculan ulama. Pondok wujud atas daya usaha rakyat untuk memenuhi keperluan pendidikan agama di kalangan penduduk sesebuah kampung. Ia telah wujud pada waktu penjajah British datang ke Tanah Melayu. Umumnya pendidikan pondok tidak memberi pendidikan sekular tetapi pendidikan agama.

Dari segi definisi, perkataan pondok berasal dari perkataan Arab "funduq" yang bermaksud sebagai tempat tinggal sementara. Tempat tinggal ini diduduki oleh pelajar-pelajar yang datang untuk belajar di situ dengan membawa barang-barang keperluan mereka sendiri. Bentuk pondok yang terdapat di Tanah Melayu sama dengan bentuk pondok Pasantren di Jawa, Penjantren di Madura, Rangrang di Acheh, Surau di Minangkabau dan Langgar di Sumatera. Dengan kata lain pondok dapat diertikan sebagai tempat atau pusat pengajian yang merupakan deretan rumah-rumah kecil yang menjadi tempat kediaman pelajar. Deretan rumah-rumah kecil inilah yang dikenali sebagai pondok.

Pendidikan pondok merupakan satu bentuk pendidikan yang tertua di Alam Melayu. Pendidikan pondok dapat dianggap formal kerana ia merupakan satu-satunya bentuk pengajian tinggi Islam di zaman tradisi, yang memainkan peranan penting di samping pendidikan informal di surau-surau dan di masjid-masjid. Dari sistem pendidikan pondok inilah lahirnya bakal-bakal pemimpin Islam yang merupakan tokoh-tokoh agama dan alim ulama yang telah memberi sumbangan yang besar di dalam perkembangan Islam dan masyarakat Islam seluruhnya.

Ada pendapat yang mengatakan kemunculan sistem pondok ini sebagai hasil dari perkembangan surau. Ababila pengajaran seseorang guru itu telah maju dan terkenal, maka orang luar akan datang belajar. Pendidikan pondok juga timbul dari perkembangan pengajaran yang dijalankan oleh guru-guru atau ulama-ulama di kawasan rumah mereka yang dijadikan sebagai tempat belajar. Keadaan ini berlangsung beberapa lama hinggakan semakin hari semakin ramai penuntut yang datang belajar, malah terdapat juga mereka yang datang dari jauh. Untuk mengatasi masalah tempat tinggal, maka didirikan rumah-rumah kecil yang dikenali sebagai pondok di sekitar rumah-rumah guru tersebut.

Pada kebiasaannya pondok-pondok ini didirikan di tanah-tanah yang diwakafkan. Keadaan di dalam kawasan pondok ini mengandungi rumah tuan guru, tempat untuk belajar yang dipanggil madrasah yang juga digunakan sebagai tempat untuk sembahyang berjemaah dan juga tempat tinggal pelajar yang dipanggil pondok. Pondok-pondok ini sebenarnya didirikan sendiri oleh para pelajar mengikut kemampuan masing-masing. Kebiasaannya pondok-pondok ini diperbuat dari atap nipah atau rumbia dan dindingnya dari kayu atau buluh, lantainya pula diperbuat dari kayu. Pondok-pondok ini kemudiannya diwakafkan oleh pelajar-pelajar ini kepada tuan gurunya untuk digunakan oleh pelajar-pelajar baru pula. Corak kehidupan di pondok adalah ringkas dan mudah. Barang-barang keperluan yang diperlukan hanyalah tikar, bantal, pelita minyak tanah, dapur kayu, periuk dan pinggan mangkuk untuk keperluan sendiri. Kehidupan di pondok memerlukan mereka berdikari. Pelajar perlu memasak, membasuh dan mengurus kehidupan mereka sendiri. Masa-masa lapang dihabiskan di pondok dengan belajar sendiri secara duduk atau meniarap sahaja.

Keperluan seperti perigi dan tempat sembahyang disediakan di dalam kawasan pondok itu. Sebuah perigi besar dan beberapa buah perigi lain digali di dalam kawasan pondok itu. Ini bagi memudahkan para pelajar mengambil air untuk sebarang kegunaan seperti membasuh, memasak dan mengambil air sembahyang. Tuan guru pondok dibantu oleh beberapa ketua yang akan bertindak mengawasi pelajar-pelajar. Perkembangan pondok berkembang pesat kerana pencarian ilmu berlaku bukan kerana tempat tetapi kerana kehebatan tuan guru yang menerajui sistem pendidikan di pondok tersebut. Pondok-pondok di Kedah menerima para pelajar bukan sahaja dari Kedah sendiri tetapi juga dari daerah luar Kedah.

Bibliografi
Penghargaan
 
   
 
| Institusi Pondok | Senarai Nama-Nama Pondok |
 
 
   
 
 
     
 
     
29 March 2024