CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Ketokohan Tunku Yaakob
- Tanjung Chali Permulaan Tapak Perniagaan Orang Melayu
Mula 1-1 Akhir

Sejak awal tahun 1920an, Tanjung Chali yang terletak di persimpangan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di bandar Alor Setar, pernah menjadi medan untuk petani dari daerah pendalaman di sekitar bandar itu memasarkan hasil pertanian.

Tanjung Chali merupakan sebuah tapak bagi melatih orang-orang Melayu di dalam bidang perniagaan. Peringkat awalnya perniagaan di Tanjung Chali itu diselenggarakan oleh ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada 7 orang. Mereka dipilih dari orang-orang yang berpengaruh. Biasanya Penghulu dipilih kerana ia merupakan orang yang berpengaruh dan dihormati oleh orang-orang kampung pada masa itu.

Selain daripada berperanan sebagai sebuah pusat bagi melatih orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan, Tanjung Chali juga merupakan sebuah pangkalan atau pelabuhan bagi persinggahan kapal-kapal, perahu-perahu dan tongkang-tongkang yang keluar masuk dari luar dan dalam negeri melalui Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit, Terusan Wan Mohamad Saman dan Sungai Raja. Kapal-kapal atau perahu yang keluar masuk itu singgah di situ untuk memunggah barang-barang dagangan.

Pada mulanya keadaan pasar di situ tidaklah begitu tersusun dan petani sering diancam oleh orang tengah. Perubahan berlaku dengan kepulangan YTM Tunku Yaacob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ke Kedah memegang jawatan Ketua Jabatan Pertanian Negeri setelah tamat pengajiannya di bidang Ilmu Pertanian Tropika di Trinidad (1929). Di samping memperkenalkan pelbagai projek pertanian moden, putera raja berjiwa petani itu berusaha meningkatkan prestasi perniagaan para bumiputera di Tanjung Chali.

Pada awal April 1930 (Zulkaedah 1348), beliau telah mengasaskan pasar mingguan di situ pada setiap hari Rabu. Sempena hari kelahiran YTM Tunku Yaacob pada hari Rabu, maka pasar minggu itu dinamakan Pekan Rabu yang khususnya dibuka pada tiap-tiap hari Rabu sahaja. Pasar minggu kemudiannya berkembang pula ke tempat-tempat lain di Kedah menurut hari-hari tertentu.

Pekan Rabu di Tanjung Chali pada peringkat awalnya merupakan bangunan terbuka yang panjang berbumbung atap berlantaikan simen dan bertiang kayu. Letak Pekan Rabu itu ialah di Tanjung Chali, di persimpangan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal. Di situlah peniaga-peniaga melonggokkan barang-barang jualannya di tempat terbuka.

Terdapat pelbagai jenis tanaman kampung yang dijual di Pekan Rabu, di antaranya ialah pelbagai jenis ulam-ulaman daripada daun-daun atau pucuk kayu, ubi, umbut dan buah-buahan.

Perusahaan tangan orang-orang Melayu yang dibuat atau dianyam daripada mengkuang seperti tudung, bakul dan lain-lain juga dipasarkan. Kain baju dan ubat-ubatan Melayu seperti minyak angin, maajun dan lain-lain juga ada dijual di pasar tersebut.

Di Negeri Kedah, Pekan Mingguan atau Pasar Mingguan dikenali dengan pelbagai nama seperti Pekan Nat, Pekan Sehari atau Pekan Sari. Tetapi Pekan Nat lebih popular disebut. Perkataan Nat berasal dari bahasa Thai yang bererti "janji" atau "menetapkan hari". Pekan pula bererti "bandar kecil" tempat pertemuan. Jadi Pekan Nat boleh didefinasikan sebagai persetujuan untuk bertemu antara dua golongan iaitu penjual dan pembeli bagi menjalankan perniagaan.

Oleh kerana Pasar Minggu diadakan pada hari Rabu, maka setiap hari itu ramailah pembeli-pembeli datang. Mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan juga tinggi. Ada juga daripada penduduk tempatan dan ada juga dari kawasan sekitar atau luar dari bandar Alor Setar. Mereka datang membeli sebab barang-barang yang terdapat di pasar terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran daripada kampung itu masih segar lagi.

Pekan Rabu kemudiannya terpaksa dipindahkan oleh kerajaan ke tapak barunya yang ada sekarang di Jalan Tunku Ibrahim (1932) atas alasan tapak asalnya amat sempit dan di situ akan dibina bangunan untuk Jabatan Kastam.

Ura-ura Kerajaan Negeri Kedah itu telah menimbulkan rasa tidak senang hati kepada Peniaga-Peniaga Melayu di Tanjung Chali, disebabkan mereka akan kehilangan tapak perniagaan yang cukup sesuai di sekitar pengkalan yang sibuk itu. Perpindahan akan menimbulkan kesusahan kepada mereka. Mereka akan kehilangan mata pencarian kerana sebilangan besar daripada peniaga-peniaga itu telah menjadikan bidang perniagaan sebagai mata pencarian mereka.

Masalah-masalah peniaga kecil itu sekali lagi mendapat perhatian daripada YTM Tunku Yaacob. Beliau telah berjaya mendapatkan satu tapak ganti berdasarkan kepada "Rezab Tapak Perniagaan Hasil-Hasil Bumi Tahun 1334 Hijrah".

Tapak Pekan Rabu itu letaknya di tepi Jalan Tunku Ibrahim dengan Sungai Raja. Luas tapak baru itu ialah 39,400 kaki persegi. Pekan Rabu di Jalan Tunku Ibrahim itu telah didirikan pada tahun 1932, mengandungi 3 buah bangunan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Rupa bangunan tersebut berbentuk "gedong" yang berlantaikan batu, berbumbung zink dan tiang kayu. Di atas lantai simen itulah tempat ahli-ahli "Syarikat Pekan Rabu" berniaga.

Perpindahan ke kawasan baru di Jalan Tunku Ibrahim merupakan satu kemajuan pada jangka panjang bagi perkembangan perniagaan orang Melayu di bandar Alor Setar. Kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar memudahkan lagi pelanggan datang membeli barang-barang dari kampung yang dijual di Pekan Rabu.

Selepas perang dunia ke 2, sikap peniaga-peniaga Melayu di Pekan Rabu berubah. Pekan Rabu yang berasal dari pekan harian, di mana peniaga-peniaga hanya berniaga pada hari Rabu sahaja telah berubah menjadi perniagaan yang dijalankan pada tiap-tiap hari kecuali hari Jumaat sahaja ia ditutup. Langkah ini bertujuan untuk menampung pendapatan harian bagi peniaga-peniaga kecil.

Sementara itu berhadapan dengan bangunan Tunku di tapak letak kereta sekarang, pada mas dahulu terdapat lagi sebuah pusat perniagaan selain dari Pekan Rabu. Sebuah bangunan baru telah disiapkan pada 18 April 1949 maka dinamakan "Pasar Yaacob". Dengan ini jelas menunjukkan betapa ramainya orang-orang Melayu yang berminat dan mencebur diri dalam lapangan perniagaan. Tetapi bangunan yang menelan belanja RM25,000.00 yang dibina oleh Kontraktor Melayu itu sudah tidak kelihatan lagi dan hanya tinggal sejarah sahaja.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga, Majlis Amanah Rakyat atau yang lebih dikenali oleh masyarakat umum ialah MARA telah membelanjakan sebanyak RM27,994,000.00 di Negeri Kedah. Pelbagai rancangan telah dilaksanakan iaitu usahawan baru, khidmat nasihat, bantuan galakan perusahaan kecil dan lain-lain.

Di antara bangunan perniagaan, rumah kedai dan Bazaar MARA yang telah di dirikan di Negeri Kedah, bangunan perniagaan Pekan Rabu adalah yang terbesar sekali. Ia merupakan lambang kemegahan bukan sahaja kepada peniaga-peniaga bumiputera di Kedah bahkan menjadi kebanggaan kepada seluruh masyarakat bumiputera di negeri ini.

Bibliografi
Penghargaan
 
 
   
 
 
     
 
     
23 April 2024